Archive for 8 November 2010


CAMERON HIGHLAND

Persinggahan ke Cameron Highland memberi pengalaman baru. Saya melihat saujana bukit bukau yang dipenuhi dengan tamanan sayur-sayuran yang diindustrikan secara besar-besaran. Manakan tidak, semua tanaman ini turut dicahayakan dengan lampu sepanjang malam. Gayanya seperti sayuran dan tanaman itu ‘dipaksa’ untuk membesar¬† lebih pantas, bukan dengan adat kebiasaannya. Barangkali tujuannya supaya sayuran lebih cepat pula dijual dan lebih cepat keuntungan diperolehi.

Kalau dibandingkan dengan Kundasang, saya melihat Kundasang punya potensi yang sangat besar. Cuma bezanya sepanjang pengetahuan, industri sayur-sayuran di Kundasang tidak diusahakan secara besar-besaran seperti Cameron Highland. Suhu dingin di Cameron Highland tidak begitu menyerlah berbanding Kundasang yang lebih kelihatan masih asli.

Namanya pun persinggahan. Saya benar-benar tidak berpuas hati kerana tidak dapat turun lebih hampir ke kawasan-kawasan penanaman. Saya dimaklumkan ada kawasan yang pengunjung dibenarkan menziarahi lebih dekat dan memetik sendiri buah-buahan seperti strawberi yang terkenal di sini. Kami berehat untuk makan tengahari dan kemudian kembali meneruskan perjalanan ke arah Tapah Perak.

Saya dibawa Che’gu Jamil Dayan ke sekolah tempat beliau mengajar sejak awal tahun ini. Sekolah ini baru saja berusia tujuh tahun, dibuka buat sesi pertamanya pada awal tahun 2004 dan dirasmikan oleh Sultan Perak pada 2005. Sekolah ini tidak jauh letaknya dari kawasan Taman Tema Lost World of Tambun. Juga berhampiran dengan rumah baru Che’gu Jamil yang sedang dalam pembinaan.

Khabarnya jumlah guru di sekolah ini seramai 94 orang majoritinya guru perempuan, jadi guru lelaki seramai 18 orang mesti lebih aktif terutamanya memimpin program seperti sukan dan seumpamanya. Saya gembira juga beberapa cadangan Che’gu Jamil di sekolah berkenaan diambil kira oleh pihak pengetua.¬† Lihat saja foto di bawah. Di persisiran jalan masuk itu ada papan tanda bertulis wirid-wirid utama, sementara satu lagi pemakluman zon menutup aurat.

Masa kami suntuk dan saya tidak dapat meneroka lebih jauh suasana di dalam sekolah ini. Mungkin satu masa nanti saya boleh datang lagi. SMK Tambun, semoga maju jaya.

%d bloggers like this: