Ini pertama kali saya datang dan seterusnya menunaikan solat asar di dalam masjid ini. Tujuan asal sebenarnya hendak bertemu sahabat lama, Ustaz Atiqullah yang bertugas di Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP). Menariknya, pejabat bahagian ini ditempatkan di Masjid Sultan Idris Shah II, iaitu Masjid Negeri Perak bukannya di Kompleks Islam Darul Ridzuan.

Kata sahabat saya Ustaz Atiq, ruang dewan utama masjid baru mengalami pembaikan setahun lalu. Terasa tenang dan nyaman berada di dalamnya. Selepas solat asar, Ustaz Atiq turut membawa saya melihat dewan kuliah dan bahagian-bahagian yang lain. Melalui maklumat yang diperolehi, masjid negeri Perak aktif dengan aktiviti pengimarahan termasuk penggunaan bilik-bilik kuliah dan perpustakaan yang ada disediakan di aras bawah masjid ini.

Masjid ini juga dilengkapi dengan kamera litar tertutup CCTV di kawasan-kawasan utama masjid. Walaupun hanya singgah tidak sampai sejam, saya mendapat banyak manfaat dan maklumat yang boleh dibawa balik dan menjadi perkongsian bersama.