Sesuatu kejadian yang berlaku mempunyai hikmah yang besar kepada kita. Pada sisi orang lain, ia mungkin menjadi musibah dan pada sisi orang yang lain pula ia menjadi kebaikan yang tersendiri. Ketika berlaku kematian, ia menjadi musibah kepada ahli keluarga dan sahabat handai yang menyayanginya. Boleh  jadi dalam sisi lain ia menjadi titik perubahan kepada seseorang untuk menjadi manusia yang lebih baik. Demikianlah.

Banjir besar berlaku di Kedah dan Perlis melibatkan sekitar 40 ribu manusia. Daripada pandangan yang besar, ini adalah musibah yang Allah SWT turunkan kepada hamba-hamba-Nya, baik yang beriman atau sebaliknya. Hanya bentuk musibah itu perlu dibahagikan, adakah ia berbentuk musibatul bala – yang berbentuk ujian, musibatul jaza’ – yang berbentuk pembalasan, atau musibah at-tarbiyah – yang berbentuk pendidikan. Jadi setiap orang sudah barangkali tidak sama bentuk musibah yang menimpanya.

Kami bermesyuarat menyemak al-Quran di Alor Star. Alhamdulillah, bahan tidak banyak dan penutupan mesyuarat diawalkan kepada malam rabu – jadual asal berakhir pada tengahari rabu. Sebahagian AJK kami berkira-kira balik awal  pagi rabu khususnya yang menaiki penerbangan ke KLIA. Saya dan beberapa sahabat lain pula merancang hendak ke Pekan Rabu yang terletak tidak jauh dari lokasi penginapan kami.

Beberapa orang bertolak ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star awal pagi untuk balik ke Kuala Lumpur. Tidak sampai sejam, mereka patah balik. Rupa-rupanya laluan ke lapangan terbang ditutup kepada semua. Bahkan khabarnya semua penerbangan ditangguhkan bermula 6 petang selasa lagi. Keadaan menjadi sedikit kelam kabut. Perancangan untuk bersiar-siar di Pekan Rabu terbatal.

Sebahagian menukar penerbangan ke Butterworth Pulau Pinang, manakala sebahagian lagi menumpang kenderaan kawan-kawan menuju ke Kuala Lumpur atau Ipoh dan kemudian menaiki bas. Saya dan Ustaz Ibrahim berpakat meng‘open’kan tiket Alor Star-KLIA dan kami menumpang Ustaz Haji Azhari Othman bersama-sama Ustaz Haji Ilham dari Selangor. Saya berhajat turun di Ipoh sementara yang lain terus ke Kuala Lumpur.

Menjadi hikmah yang baik kepada saya apabila bah berlaku di Kedah sehingga kami gagal menaiki pesawat. Barangkali demikian disusun oleh Allah SWT, apabila di Ipoh saya ditakdirkan bertemu dengan sahabat-sahabat lama. Saya menghubungi Cikgu Jamil Dayan yang menjemput di R&R Simpang Pulai, kemudian bertemu Ustaz Atiqullah di Masjid Negeri Perak dan akhirnya menziarahi Ustaz Md Iqbal Said di rumahnya. Saya akan catatkan kisah-kisah mereka dalam entri yang akan datang.

Foto berikut di R&R Simpang Pulai, sementara menanti Cikgu Jamil.