Seramai 38 pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pantai Barat dan Pedalaman Sabah mewakili 19 buah PASTI berumur 5 dan enam tahun terpilih dalam ujian pemilihan Tokoh Ibnu Sina bagi sesi persekolahan tahun 2010. Ujian bertulis berkenaan diadakan selama sejam pada pagi ini di Kota Kinabalu. Antara PASTI yang terlibat ialah dari Kudat, Pitas, Beaufort, Keningau, Putatan dan Sepanggar.

Setiap tahun ujian berkenaan akan diadakan bagi memilih pelajar terbaik di peringkat masing-masing sebelum dibawa ke peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat PASTI Kebangsaan. Pelajar-pelajar berkenaan diuji tentang apa yang telah mereka pelajari sepanjang tahun dan beberapa soalan yang berat untuk menguji kebolehan mereka sesuai dengan objektif pencarian pelajar pintar dan terbaik.

Suasana di lokasi ujian kelihatan meriah apabila ibu bapa yang menghantar dan menemani anak masing-masing turut memberi semangat dan galakan. Ada di kalangan anak-anak ini yang kelihatan gentar melihat suasana berbeza berbanding di PASTI masing-masing sambil dipujuk oleh ibu bapa dan guru-guru PASTI yang turut hadir menunjukkan sokongan dan galakan kepada anak-anak murid mereka.