Archive for 27 Oktober 2010


MENULIS

Sebulan setengah lagi kita akan menyambut tahun baru 1432 Hijrah. Banyak peristiwa berlaku baik dalam diri, keluarga, masyarakat, negeri, negara kita, apatah lagi di peringkat antarabangsa. Mudah-mudahan banyak peristiwa yang berlaku memberi manfaat dan iktibar kepada diri kita masing-masing. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Seperti biasa, menjelang sambutan ma’al hijrah peringkat negeri yang biasa diurusetiakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), pelbagai program akan dilakukan. Hari ini saya menerima satu tugasan dan tawaran daripada ketua sempena sambutan ma’al hijrah nanti. Tawarannya adalah untuk menulis sebuah buku agama dan akan diterbit dan diedar menjelang majlis itu nanti.

Saya menerima tugasan itu dengan perasaan yang pelbagai. Suka ada, takut ada, teruja ada, bimbang pun ada. Barangkali inilah rasanya kerana pertama kali menerima satu tawaran menulis buku kecil meski hanya untuk terbitan jabatan dan edarannya pula percuma. Lebih membimbangkan, tawaran ini mesti disiapkan dalam tempoh dua minggu daripada sekarang. Satu hal lagi, saya masih termenung memikirkan tajuk dan isi yang hendak diketengahkan.

Malam ini saya sembang facebook dengan seorang sahabat yang saya hormati, Ustaz Nik Anwar Zakaria el-Besuti seorang pengamal perubatan Islam lepasan Darussyifa. Beliau adalah lepasan Universiti Mu’tah Jordan dan kini bertugas di SMKA Kota Kinabalu sejak beberapa tahun lalu. Satu segi saya tabik dengan kesungguhan beliau yang memperuntukkan masa melakukan rawatan khususnya yang berkait dengan sihir, makhluk halus dan seumpamanya.

Dalam kesibukan program sekolah dan asrama, kuliah di masjid dan surau, menjadi perawat perubatan Islam, beliau masih ada masa untuk menulis buku. Setelah dua buah buku bertajuk ‘Senjata Penuntut Ilmu’ dan ‘Penyuluh Jiwa Mukmin’ yang mendapat sambutan, kini beliau sudah menyiapkan buku ketiga bertajuk ‘Irsyad al-Tolibin wa Imdad al-Muallimin’ – Komunikasi Praktis Bahasa Arab Untuk Guru dan Penuntut yang dijangka dipasarkan awal tahun hadapan.

Khabar itu menyentak semangat saya untuk menulis buku sebagaimana yang sudah lama dicadang dan disarankan oleh sahabat-sahabat, juga pelayar blog ini. Kata mereka, ada artikel-artikel di blog ini boleh dibukukan, ditatap oleh orang yang tidak melayari internet juga menjadi suatu dokumentasi berharga suatu hari nanti.  Pandangan mereka saya hargai dan sudah lama saya sedari, hanya mencari masa untuk mengumpul dan mengedit semula.

Insya Allah saya cuba menyahut kedua-dua cabaran ini dan seupayanya diterbitkan menjelang tahun baru 1432H. Mudah-mudahan hajat ini diperkenan dan dimudahkan oleh Allah SWT. Sokongan dan keprihatinan sahabat-sahabat dan pelayar blog ini amat saya hargai.

Buku yang baru dibaca :

Penulis : Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Penerbit : Galeri Ilmu

Harga : RM25.00 / RM 27.00

Buku ini adalah naskhah yang merakam catatan kembara Abu Saif di bumi Khilafah Othmaniyyah, pada mengenal hati budi kenalan dan teman, yang sudah lama berkongsi persaudaraan atau yang disapa di pinggir jalanan. Semua itu adalah cara Allah mendidik untuk melihat Islam dengan penuh yakin, bahawa sehitam mana pun gelapnya malam, sentiasa ada kunang-kunang meminjamkan cahaya, bekal menanti sirnanya gelita, hingga terbit fajar janji-Nya.

Petikan 1

Bolvadin sendiri pun suasananya cukup baik. Walaupun ia dianggap sebagai pekan kecil (kerana penduduk Turki yang melebih 70 juta), 65 ribu penduduk bukanlah suatu angka yang boleh diremehkan. Namun, jarang kita bertemu dengan perempuan yang tidak bertudung di jalan raya Bolvaden. Malah kalau boleh saya katakan, kebanyakan perempuan di sini berpurdah.

Petikan 2

Aktiviti menghafal al-Quran yang begitu aktif di seluruh pelosok Turki juga harus diambil iktibar oleh kita semua. Di Istanbul sahaja ada kira-kira 100 buah sekolah tahfiz. Di seluruh negara, jumlah mereka yang menghafal al-Quran menjangkau angka berjuta-juta dan mereka ini sangat berperanan menghidupkan masyarakat dengan kalamullah, memakmurkan masjid khususnya pada bulan Ramadan dengan tadarus secara hafalan dan sebagainya.

Petikan 3

Saya kira, kebersihan yang terbit daripada iman, memang benar-benar dapat dirasakan di Turki. Kalau di masjid, berhati-hati! Anda mungkin akan diminta keluar oleh ‘orang masjid’ sekiranya anda masuk ke masjid dengan stoking yang ‘tidak molek’. Apabila anda keluar dari pintu masjid, junjung kedua-dua pasang kasut anda ke atas kerana orang Turki tidak mahu kasut yang dijinjing menyentuh pakaian orang lain.

 

%d bloggers like this: