Archive for 26 Oktober 2010


APEK

Sampai di rumah pada jam 12.40 tengah malam ahad. Sampai sahaja, saya tidak terus masuk ke rumah melainkan terlebih dahulu meninjau kandang arnab, khususnya yang baru lahir lebih seminggu lalu. Tapi lain pula yang terjadi apabila melihat arnab kami yang paling senior bernama Apek terkulai di kandangnya.

Pada 10 Zulhijjah 1428 – iaitu hari raya haji tahun 2007, sejurus mengiringi TYT Tun Ahmadshah solat hari raya di Masjid Bandaraya (kerana saya masih bertugas di Istana ketika itu), dengan lengkap berpakaian baju melayu saya membeli dua pasang arnab berusia sebulan di Asia City. Arnab itu kami beri nama Apek, Fafau, Kiran dan Fenda.

Lebih setahun mereka membesar bersama kami. Satu demi satu kemudiannya mati. Arnab generasi pertama yang tinggal hanyalah Apek yang nampaknya bertahan dan hidup bersama arnab-arnab junior. Berakhirnya riwayat Apek meninggalkan keturunan yang berusia enam bulan sebanyak tiga ekor, dan salah satu daripada anaknya itu sudah pun mempunyai zuriatnya sendiri.

Saat saya mengebumikan Apek pada tengahari ahad, terasa juga sedihnya kerana Apek adalah arnab kesayangan saya selama hampir 3 tahun, seekor arnab satin keemasan yang manja dengan saya. Saya tahu dia suka sekali dibelai, namun kini dia sudah tiada. Tapi melihat cucu-cucu Apek seramai tujuh ekor yang cantik itu, sedih saya akhirnya terubat juga.

 

23 Oktober 2010 (Sabtu)

1) Jadual penerbangan pulang saya ke Kota Kinabalu ialah pada jam 9.50 malam, sedang program di Shah Alam berakhir pada jam 5 petang. Alhamdulillah, Ustaz Khidir sahabat lama yang pernah berjuang di Sabah dan kini menyambung pelajaran peringkat sarjana sudi menghantar saya pulang ke KLIA. Terima kasih. Beliau hendak mengajak ke rumahnya terlebih dahulu namun saya tolak baik kerana hendak bersendirian dan menghabiskan bacaan sebuah buku di KLIA.

2) Saya mengisi perut di sebuah restoran dan kemudian relaks di deretan kerusi berdekatan dengan laluan masuk penumpang domestik (yang biasa ke KLIA sudah tentu boleh agak). Seorang mamat pelancong kulit putih dengan bahasa inggerisnya ‘mengganggu’ khusyuk saya membaca dengan meminta titipkan barangnya sebentar. Masa masih awal dan saya mengiyakan pula dengan bahasa arab tanpa sengaja. Rupanya mamat tu orang arab Iraq dan dengan senang hatinya dia berjalan entah ke mana meninggalkan begnya bersama saya sekitar setengah jam.

3) Ada sekumpulan pelancong lagaknya dari Asia Timur seperti China atau Taiwan kelam kabut duduk di sebelah  kanan saya, membongkar beg dan pakaian mereka dan kemudian menyusunnya kembali. Mungkin mencari sesuatu atau mengemaskini barangan mereka. Saya tersengih melihat, antara barang yang mereka bawa balik ialah dua biji kelapa hijau. Tiada kaa kelapa di tempat mereka? Sekumpulan anak-anak muda di sebelah kiri sana tersenyum sinis melihat mereka.

4) Anak-anak muda di sebelah kiri saya rupanya orang Sabah. Mereka pelajar yang baru tamat dari Universiti Industri Selangor (UNISEL) dan membawa banyak barang. Waktu baru jam 8 malam mereka sudah terpacak di KLIA menanti penerbangan awal pagi esok. Malangnya barang mereka melebihi had muatan sekitar 11 kilo. Saya menawarkan diri membawa sebuah beg mereka dan berjanji temu di KKIA pada pagi ahad sejurus ketibaan mereka jam 10.30 pagi ahad.

5) Alhamdulillah, saya meyakini Allah akan membantu hamba-Nya selama hamba itu membantu saudaranya sendiri. Saya bergerak lega kerana dapat membantu dua orang yang memerlukan bantuan. Saya ingin solat di surau bahagian dalam dan mencari ruang selesa di bilik menunggu untuk menghabiskan buku yang sedang dibaca. Khusyuk membaca sementara menanti panggilan masuk, akhirnya terganggu juga dengan sembang makcik-makcik wanita umno yang seronok bercerita tentang perhimpunan mereka.

%d bloggers like this: