Dari Kompleks Pertama, saya berjalan kaki sambil menyandang beg berisi laptop dan pakaian, sebuah beg kamera dan sekotak buku yang baru diborong dari beberapa buah kedai sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju ke Stesen Bank Negara di seberang jalan.

Saya terasa keletihan kerana sebelumnya sudah banyak berjalan kaki, tambahan lagi ketika itu hujan mulai turun membasahi jalan. Dalam komuter hampir sejam menuju ke Shah Alam saya melihat pelbagai ragam manusia. Mujur keadaan tidak terlalu sesak kerana waktu bekerja belum berakhir.

Naik teksi dari stesen komuter Shah Alam, akhirnya  saya tiba juga buat pertama  kalinya ke bangunan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) yang terletak di Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam hampir jam 5 petang setelah melalui perjalanan yang sedikit meletihkan. Deretan bangunan kedai-kedai di sini agak menarik dan warna warni dengan majoritinya kepunyaan orang Islam. Kalau naik teksi ke sini, dengan mudahnya kita sebutkan Wisma Jakel yang tersergam indah di sebelah hadapan dan bangunan PUM di sebelah belakangnya.

Bangunan tiga tingkat PUM ini dibeli dengan nilai RM2 juta dan beroperasi sejak bulan Jun lalu bersama enam kakitangan sokongan yang dibayar gaji. Ruang bawah disewakan kepada kedai butik dan kedai kek yang khabarnya hasil sewa itu boleh menampung kos penyelenggaraan serta pembayaran gaji staf setiap bulan. Terasa semangat juga melihat bangunan beserta isi di dalamnya, tambahan lagi dengan ketekunan staf mengendalikan urusan pejabat setiap hari.

Di tingkat 1 menempatkan dewan latihan sementara di tingkat 2 adalah pejabat pentadbiran yang termasuk bilik-bilik untuk YDP, TYDP, Naib YDP 1 dan Naib YDP 2, Setiausaha Agung dan Bendahari, ruang tamu dan bilik mesyuarat yang boleh memuatkan sekitar 30 orang dalam satu-satu masa. Dalam tempoh beberapa bulan ini, PUM telah mengadakan beberapa program termasuk menerima tetamu khas seperti perbincangan dengan penasihat syariah ESQ, kunjungan Menteri di JPM dalam sambutan hari raya dan lain-lain. Saya amat teruja mendengar bahawa seorang ulama terkenal dari Mesir Dr Zaghlul an-Najjar juga berkunjung ke sini.

Kami berkumpul dan bermalam di sini sejak petang jumaat dan kembali ke tempat masing-masing pada petang sabtu setelah menyertai program Daurah Tarbawi yang melibatkan semua AJK PUM Pusat dan wakil-wakil seluruh Malaysia. Program berkenaan akan saya catatkan dalam entri berasingan nanti.