Archive for 24 Oktober 2010


DAURAH TARBAWI PUM

Program bermula selepas asar dengan sesi pendaftaran. Nampaknya wakil Sabah – Ustaz Haji Muchlish dan saya sendiri antara yang terawal sampai. Sebelum jam lima lagi kami sudah terpacak di luar bangunan baru Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Seksyen 7 Shah Alam. Selepas itu barulah wakil-wakil dari negeri lain datang satu persatu.

Program ini khabarnya sudah disusun beberapa bulan lalu dengan mengumpul AJK Pusat bermula daripada Yang Di Pertua sehingga ke perwakilan negeri-negeri. Saya amat seronok bertemu dan bersua dengan beberapa personaliti ulama’ terkemuka seperti Dato’ Shaikh Abdul Halim Abdul Kadir (mantan Mufti Terengganu), Dato’ Haji Salleh Haji Ahmad (AJK Fatwa Selangor dan WP), Dr Fauzi Deraman dan ramai lagi. Lebih teruja lagi kami semua hanya bermalam di pejabat ini tanpa kecuali walaupun terdapat sebuah hotel terletak bersebelahan dengan bangunan PUM.

Dato’ Shaikh Abdul Halim memimpin slot pertama selepas maghrib dengan diskusi buku kecil al-Qaid al-Qudwah ‘ala Toriq ad-Da’wah yang ditulis oleh Mustafa Masyhur. Antara yang disentuh ialah kewajiban amal jamaie, elemen-elemen kepimpinan, akhlak dan sifat-sifat pimpinan dan yang dipimpin, serta banyak lagi. Walaupun bab ini bukan sesuatu yang baru, ia wajar disentuh dan diperingat-ingatkan kepada semua. Beliau meminta buku kecil ini dihadamkan dalam usrah negeri masing-masing.

Dr Fauzi Deraman selaku NYDP2, mengambil slot berikutnya dengan tajuk ‘Ulama dan Isu-Isu Semasa’.  Beliau menyentuh keperluan para alim ulama mengetahui hal yang berlaku dalam masyarakat mereka. Namun begitu, ulama perlu berhati-hati sebelum memberi respon secara tergesa-gesa dengan terlebih dahulu memeriksa latar belakang kes tersebut, apatah lagi kadang-kadang terdapat pihak media membuat soalan ‘perangkap’ sehingga berlaku salah faham akibat permainan media ini.

Kuliah subuh dan soal jawab bersama Dato’ Haji Salleh Haji Ahmad paling menarik minat saya. Beliau menekankan para pendakwah agar lebih kerap menjiwai al-Quran. Soal jawab isu semasa dijawab dengan mantap oleh beliau, antara lain berkaitan dengan isu duit judi (dakwaan UMNO) di Pulau Pinang, termasuk soalan terkini berkaitan solat jumaat di PWTC. Kepetahan beliau itu menimbulkan satu idea untuk saya mencadangkan kepada PUM Sabah mengadakan ceramah hukum isu semasa satu hari nanti.

Selain tiga slot berkenaan, terdapat juga taklimat lain khususnya dalam soal pengurusan dan pentadbiran yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Dr Mohd Roslan Mohd Nor dan Bendahari Encik Baharom Kasim. Banyak idea dan maklumat dapat dikongsikan untuk gerakerja PUM di peringkat negeri-negeri. Dalam taklimat ini, barulah saya mengetahui banyak sejarah awal PUM yang antara lain melibatkan ramai tokoh besar dalam negara. Ketika penubuhan awal pada 8 April 1972, Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim adalah penasihat JK Penaja sementara pengerusi penaja ialah Allahyarham Haji Nik Muhyiddin Musa.

Suka saya catatkan semula petikan kertas kerja Dr Roslan dalam tajuk kecil KEAHLIAN DAN STRUKTUR ORGANISASI :

Dari segi keahlian pula, ahlinya terdiri daripada mereka yang berpendidikan agama secara formal. Namun begitu, PUM tidak pernah menutup pintu kepada mereka yang berlatarbelakangkan ilmu-ilmu lain. Ini dibuktikan dengan wujudnya sebuah lajnah khas untuk menumpukan kepada golongan profesional. Oleh sebab itu, PUM menerima mana-mana individu yang berminat menjadi ahli, asalkan ia seorang muslim yang mencintai atau beriltizam dengan tugas ulama’.

Sesuatu yang harus juga difahami bahawa menjadi ahli kepada Persatuan Ulama bukanlah bererti seseorang itu sudah mempunyai autoriti ilmu-ilmu Islam. Ini yang sering disalahfaham oleh masyarakat di mana ada yang cuba mengeluarkan kata-kata sinis “mudahnya menjadi ulama, hanya perlu isi borang dan bayar yuran”.

Sebenarnya tidak begitu, malah menurut YDP PUM kata-kata sebegini tidak seharusnya keluar daripada mulut seorang muslim. Menjadi ahli PUM bermaksud beriltizam dengan matlamat pertubuhan ini yang ingin melihat bahawa Islam dan masyarakat muslim terus mendapat pembelaan yang wajar dan tidak ditindas di dalam negara sendiri.

Dari Kompleks Pertama, saya berjalan kaki sambil menyandang beg berisi laptop dan pakaian, sebuah beg kamera dan sekotak buku yang baru diborong dari beberapa buah kedai sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju ke Stesen Bank Negara di seberang jalan.

Saya terasa keletihan kerana sebelumnya sudah banyak berjalan kaki, tambahan lagi ketika itu hujan mulai turun membasahi jalan. Dalam komuter hampir sejam menuju ke Shah Alam saya melihat pelbagai ragam manusia. Mujur keadaan tidak terlalu sesak kerana waktu bekerja belum berakhir.

Naik teksi dari stesen komuter Shah Alam, akhirnya  saya tiba juga buat pertama  kalinya ke bangunan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) yang terletak di Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam hampir jam 5 petang setelah melalui perjalanan yang sedikit meletihkan. Deretan bangunan kedai-kedai di sini agak menarik dan warna warni dengan majoritinya kepunyaan orang Islam. Kalau naik teksi ke sini, dengan mudahnya kita sebutkan Wisma Jakel yang tersergam indah di sebelah hadapan dan bangunan PUM di sebelah belakangnya.

Bangunan tiga tingkat PUM ini dibeli dengan nilai RM2 juta dan beroperasi sejak bulan Jun lalu bersama enam kakitangan sokongan yang dibayar gaji. Ruang bawah disewakan kepada kedai butik dan kedai kek yang khabarnya hasil sewa itu boleh menampung kos penyelenggaraan serta pembayaran gaji staf setiap bulan. Terasa semangat juga melihat bangunan beserta isi di dalamnya, tambahan lagi dengan ketekunan staf mengendalikan urusan pejabat setiap hari.

Di tingkat 1 menempatkan dewan latihan sementara di tingkat 2 adalah pejabat pentadbiran yang termasuk bilik-bilik untuk YDP, TYDP, Naib YDP 1 dan Naib YDP 2, Setiausaha Agung dan Bendahari, ruang tamu dan bilik mesyuarat yang boleh memuatkan sekitar 30 orang dalam satu-satu masa. Dalam tempoh beberapa bulan ini, PUM telah mengadakan beberapa program termasuk menerima tetamu khas seperti perbincangan dengan penasihat syariah ESQ, kunjungan Menteri di JPM dalam sambutan hari raya dan lain-lain. Saya amat teruja mendengar bahawa seorang ulama terkenal dari Mesir Dr Zaghlul an-Najjar juga berkunjung ke sini.

Kami berkumpul dan bermalam di sini sejak petang jumaat dan kembali ke tempat masing-masing pada petang sabtu setelah menyertai program Daurah Tarbawi yang melibatkan semua AJK PUM Pusat dan wakil-wakil seluruh Malaysia. Program berkenaan akan saya catatkan dalam entri berasingan nanti.

%d bloggers like this: