Archive for 23 Oktober 2010


PUSTAKA PERTAMA

Ini bukan kali pertama saya ke premis ini. Kali pertama dan kedua, apabila saya menyertai mesyuarat Lajnah Tashih al-Quran KDN di Hotel Quality, Jalan Raja Laut tidak jauh dari Kompleks Pertama. Di dalam kompleks inilah terletaknya Pustaka Pertama. Saya kenalkan saja diri saya kepadanya sebagai tetamu dari Sabah.

Kali pertama berkunjung ke sini pada 2009, saya sudah jatuh hati. Biar premisnya tidak besar saya biasanya menemui buku yang saya cari. Tambahan layanan mesra pemiliknya Encik Baharuddin @ Pak Din terhadap saya. Kali kedua datang tempohari, beliau membekalkan saya beberapa buku kecil secara percuma untuk diagih-agihkan di mana-mana masjid atau surau. Dia juga memperkenalkan saya buku-buku terbaru dan popular untuk saya miliki.

Kali ini saya datang ke premis beliau dalam keadaan sarat memikul beg berisi pakaian dan laptop sementara satu beg lagi berisi kamera. Dalam keadaan saya tidak mengenal sesiapa di sini, dan perasaan berbaik sangka saya kepadanya, saya tinggalkan beg berisi pakaian dan laptop itu di premisnya untuk saya memudahkan bergerak ke Masjid Negara bagi menunaikan solat jumaat.

Entri ini ringkas dan isunya kecil iaitu menitipkan barang kepada seseorang. Namun saat kita sendirian dan memerlukan bantuan apatah lagi di tempat yang asing, pertolongan yang dihulurkan oleh Pak Din amat saya hargai dan terhutang budi. Saya hanya mampu membalas dengan menyiarkan satu entri untuk Pustaka Pertama agar sesiapa yang singgah di Kompleks Pertama turut berkunjung ke premis ini.

Terima kasih Pak Din dan pembantunya (lupa tanya nama) yang menunjuk jalan untuk saya ke destinasi berikutnya. Allah saja yang mampu membalas kebaikan mereka berdua. Insya Allah saya akan datang lagi jika berkesempatan suatu hari nanti. Seperti kali pertama dan kedua, saya memborong banyak buku di sini.

PERTAMA BOOK STORE, G-76 Ground Floor, Pertama Shopping Complex, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Malaysia. Tel / Fax : 03-2692 3781.

Masjid Negara – masing-masing selesa duduk bersandar di tiang-tiang masjid

 

Kali pertama solat di sini pada tahun 1995 dan kali terakhir pada julai lalu. Kali ini, saya tiba di Masjid Negara ketika azan Jumaat dikumandangkan. Terkejut saya melihat umat Islam semakin ramai duduk di gerai-gerai makan berhampiran masjid. Saya lihat papan tanda menyentuh ayat al-Quran daripada surah al-Jumuah agar menyahut segera seruan jumaat tidak dipedulikan. Papan tanda itu didirikan berhampiran dengan kawasan gerai-gerai berkenaan.

Melihat ratusan umat Islam dan jamaah masjid makan dengan relaksnya, seolah-olah azan yang berkumandang itu bukannya azan jumaat. Macam azan maghrib, menandakan masuknya waktu berbuka puasa kerana ramai yang sedang makan tengahari sambil bersembang santai. Saya rasa inilah yang patut ditekankan dalam khutbah jumaat, bukannya sibuk mengulas dan menyebut kembali statistik bajet 2011 oleh khatib bertugas.

Tiba di bangunan masjid, saya berada di bahagian luar, kira-kira saf keempat atau lima. Sayang sekali, sistem pembesar suara tidak begitu baik dan khutbah jumaat hanya kedengaran sayup-sayup sahaja. Sebagai orang kampung yang datang jauh, sebenarnya merasa besar hati untuk berziarah apatah lagi dapat menyertai solat jumaat di Masjid Negara.

Demikian perasaan saya ketika datang pertama kali beberapa tahun lalu ke sini. Namun saya yakin, perasaan itu timbul bagi setiap orang yang datang buat pertama kalinya ke sini. Sayang, melihat suasana sebahagian jamaah yang tidak peduli dengan khutbah, ditambah lagi isi khutbah dan sound system yang bermasalah menyebabkan timbul prasangka yang tidak baik.

Mudah-mudahan penambahbaikan yang sedang berjalan di Masjid Negara saat ini turut memasukkan masalah sound systemnya sebagai antara keutamaan untuk diperbaiki agar segala penyampaian maklumat dapat diikuti oleh semua jamaah, di bahagian dalam atau luar masjid. Selain daripada itu, seperti bacaan imam yang merdu, ruang wudhu’  yang selesa dan lain-lain saya rasa tiada masalah sangat.

 

%d bloggers like this: