Archive for 22 Oktober 2010


JALAN TUANKU ABD RAHMAN

Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 8.35 pagi. Program dan maksud tujuan saya kali ini ke Shah Alam hanya bermula menjelang maghrib. Oleh kerana awal tiba, saya berhasrat untuk meronda sebentar ke ibu negara dengan tujuan utama mencari buku-buku baru untuk dibawa balik.

Sebagaimana panduan yang diberi oleh Haji Pozi, saya menaiki ERL menuju ke Bandar Tasik Selatan dan kemudian bertukar naik STAR LRT menuju Stesen Bandaraya. Letih juga berjalan kerana saya ‘menyikut’ beg berisi laptop dan pakaian serta beg sandang berisi kamera. Setiba di stesen bandaraya, saya menuju ke Kompleks Pertama, khususnya ke sebuah premis kedai buku yang sering saya kunjungi. Cerita tentang premis ini akan saya sentuh dalam entri berikut nanti.

Sejak awal saya berhasrat untuk solat jumaat di Masjid Negara hari ini walaupun sekitar sini ada Masjid India dan Masjid Jamek. Saya keluar awal dari Kompleks Pertama untuk aktiviti fotografi sepanjang Jalan Tuanku Abd Rahman sehingga ke Masjid Negara. Sebenarnya sesi ini tidak pun sampai satu jam (40 minit sahaja) dan saya dapat melihat dan merakam pelbagai rencam manusia di ibu kota khususnya Jalan Tuanku Abd Rahman yang terkenal itu.

Saya kongsikan sebahagiannya..

Alhamdulillah, pagi ini solat subuh di surau Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Saya tiba di terminal ketika waktu azan subuh baru selesai berkumandang. Saya sudah daftar masuk lebih awal melalui sistem mesin malam tadi untuk ke ibu negara. Solat subuh disertai sekitar 15 orang, antaranya adalah beberapa bakal jamaah haji.

Hari ini juga seramai 447 bakal jamaah haji dari Sabah akan berlepas pada jam 8.35 pagi. Mereka adalah rombongan kedua selepas rombongan pertama berlepas pada 16 Oktober lalu. Mereka mula berkumpul di sini sejak jam 3 pagi lagi. Kelihatan juga beberapa sahabat saya yang bertugas lantikan Tabung Haji untuk memudahkan urusan perjalanan jamaah haji ini.

Antara yang kelihatan ialah Ustazah Inun Mamit, Ustazah Salwa dan Ustazah Hajah Salmah Hasan. Maklumlah, di kalangan jamaah haji ini bukan setakat tidak pernah ke luar negara, naik kapal terbang pun barangkali buat pertama kali. Jadi sudah tentu lebih banyak bantuan dan sokongan diperlukan.

Masuk ke balai berlepas, saya nampak Ustaz Suparlan Roto dan isterinya Winarsih Trimo berjalan dalam kelompok jamaah haji berkenaan. Rupanya mereka termasuk dalam senarai tetamu Allah SWT tahun ini. Semoga urusan mereka turut dimudahkan oleh-Nya. Mereka suami isteri orang baik.

“Doakan kami”, kata ustaz.

“Sama-samalah kita. Orang musafir doanya maqbul”, ujar saya.

Semoga Allah memberi kurnia haji mabrur kepada semua jamaah haji. Ustaz Haji Ahadin, Cikgu Haji Burhanuddin, Dr Hajah Kartina, Cikgu Haji Zulkifli Awang, Tuan Haji Suwito, Imam Haji Kifli, Cikgu Haji Abu Bakar, Dr Haji Awang Setia, Ustaz Haji Hamdan, Ustazah Hajah Qurratul Ain dan ramai lagi.

%d bloggers like this: