Saya dan sahabat saya Mahmud Yunus tiba saat kuliah subuh baru bermula di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil, menghadiri tazkirah Ustaz Haji Nasrudin Hassan di sana. Jamaah sudah memenuhi ruang dalam masjid. Alhamdulillah, kehadiran sekitar 100 orang jamaah adalah diluar jangkaan saya sendiri.

Saya dimaklumkan pihak JK Masjid diketuai oleh Tuan Haji Yussuf Othman bekerja keras untuk memastikan kehadiran yang memuaskan dapat dicapai. Selain pengumuman sebelum azan jumaat dan sms, mereka juga menghantar surat undangkan termasuk kepada masjid dan kampung berhampiran seperti Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan dan lain-lain.

Tazkirah sekitar sejam, ustaz sentuh tentang Islam sebagai penyelesaian bagi segala masalah yang melanda ummat manusia hari ini. Gejala sosial dan jenayah yang berlaku hanya dapat diselesaikan dengan Islam, bermula daripada perkara yang kecil sehingga perkara yang besar termasuk perundangan.

Seperti audien lain, saya turut tersentak kisah dan pengalaman ustaz dan kawan-kawannya menziarahi kawasan pelacuran di ibu kota dalam bulan Ramadhan, apabila mereka menemui seorang pelacur dengan pakaian seksinya sedang membaca al-Quran. Kata pelacur berkenaan, membaca al-Quran adalah mencari modal pahala untuknya satu hari nanti. Apabila disiasat, pelacur berkenaan pernah belajar di sebuah sekolah agama terkenal.

Berkenaan perundangan Islam, saya tersengih mendengar hujah mudah ustaz : “Kalau orang yang kencing manis, lalu doktor putuskan bahawa kaki perlu dipotong, kita tak marah bahkan kita berterima kasih kepadanya kerana bahaya penyakit itu diketahui oleh doktor yang pakar perubatan. Jadi, Allah SWT yang Maha Mengetahui akan penyakit manusia bahawa ubat kepada jenayah curi adalah potong tangan, lalu kenapa manusia tiba-tiba marah dan melenting?”

Terima kasih Ustaz Nasrudin, nampaknya jamaah masjid yang saya temui teruja dan gembira dengan majlis ini tambah lagi ustaz begitu bersemangat sepanjang tazkirahnya. Tahniah juga kepada JK Masjid atas penganjuran ceramah ini sehingga mendapat sambutan ramai. Mudah-mudahan memberi manfaat kepada semua yang hadir. Saya perhati majlis ini kemas dan teratur sehingga ke akhirnya, bermula solat subuh berjamaah sehingga sarapan pagi bersama-sama.

Semoga program seumpama ini akan dianjurkan lagi bagi mengisi hati-hati manusia dengan mengingati Allah SWT.