Sekali lagi kami kelam kabut. Sudahlah minggu lalu empat ekor bayi arnab dilahirkan dan bertahan hidup hanya 48 jam, pagi semalam (mujur hari sabtu), seekor lagi arnab betina melahirkan anak – tujuh ekor kesemuanya. Sungguh kami tidak menyangka kerana si ibu itu baru berusia lima bulan kerana ia adalah salah satu daripada tiga ekor yang selamat dilahirkan pada mei lalu dan membesar di kandang ini.

Kiranya tujuh ekor yang dilahirkan semalam adalah arnab generasi ketiga sejak kami mula memeliharanya bermula akhir tahun 2007. Kali ini saya lebih bersedia kerana sebuah kandang sudah dipenuhi dengan tanah untuk tempat kehidupan mereka. Saya ambil sedikit masa untuk mengalihkan anak-anak ini dan ibunya ke kawasan kandang bertanah yang lebih sesuai.

Saya menjenguk mereka pagi, petang dan lewat malam dan nampaknya si ibu ini boleh diharap dan prihatin dengan anak-anaknya seramai tujuh ekor ini. Mudah-mudahan panjang umur dan membesar seperti ibunya juga.