Malam tadi (malam minggu), saya meluangkan masa untuk hadir mendengar ceramah khas bersama Ustaz Haji Nasrudin Hassan dari Pahang di Masjid al-Mahabbah Kampung Muhibbah Petagas. Ceramah di sini dihadiri sekitar 70 orang jamaah kebanyakannya penduduk sekitar kampung dan Taman Jumbo. Beliau dalam rangka menziarahi Sabah dan sebelum itu beliau mengisi beberapa slot di Tawau sebelum ke Kota Kinabalu.

Ceramah beliau berkisar tentang kewajiban menegakkan amar  ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Beliau memulakan ceramah tentang kelebihan menghadiri majlis-majlis ilmu kerana dalam masa yang sama ramai umat Islam mula meninggalkan majlis sedemikian dan menghadiri program berunsur kemaksiatan.

Bahkan berlaku dalam negara program menegakkan mungkar dan mencegah yang ma’ruf. Beliau menceritakan sedikit pengalaman pemuda-pemuda mengedar risalah dan menasihati pengunjung-pengunjung konsert Adam Lambert di ibu negara beberapa hari lalu, sedangkan Adam Lambert itu sendiri membawa misi maksiat, homoseks dan gay yang menjadi gaya hidupnya.

Menurutnya, manusia khususnya umat Islam akan hilang maruah dan harga diri apabila maksiat dan jenayah dibiarkan tanpa pencegahan. Sekurang-sekurangnya, umat Islam wajib menjaga diri dan ahli keluarganya agar tidak terjebak dalam perkara maksiat dan kemungkaran yang berleluasa dalam masyarakat.

“Kita mampu memasang pagar-pagar mahal untuk memelihara rumah kita. Kita mampu mengupah pengawal-pengawal keselamatan menjaga keselamatan kita. Kita mampu membeli dan memasang alat-alat kawalan seperti loceng, CCTV demi kehidupan di dunia. Tapi bagaimana untuk keselamatan kita di akhirat?” Soalnya.

Katanya, wajib kita merenung bagaimana kita hendak menyelamatkan diri dan keluarga kita daripada api neraka. Kalau seorang yang bermusafir di dunia mempunyai petunjuk dengan melihat bintang, kompas dan kini GPS, maka petunjuk hidup kita sebagai seorang hamba Allah SWT adalah al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW yang perlu dipelajari dan diamalkan.

Terima kasih ustaz atas nasihat-nasihat yang bermanfaat buat kami yang hadir.