Archive for 13 Oktober 2010


ZAHARAH AGUS

Ingat satu dialog dalam filem ‘Madu Tiga’ antara Jamil dan Latipah : “Butang baju aku mana pah?” “Siapa yang kawin bang?” “Kawan aku daa.. namanya si Jamil..” Dalam pengenalan filem ini beliau dikenali sebagai Zera Agus.

Zaharah Agus adalah seorang penyanyi tahun 50an yang banyak menyanyi untuk Radio Malaya. Sebuah lagu yang terkenal ketika itu bertajuk ‘Keindahan Bintang Malam’ adalah nyanyiannya yang digubah oleh Datuk Ahmad Nawab. Saloma menyanyikan kembali lagu ini dengan tajuk ‘Bintang Malam’ pada tahun 1965.

Pertama kali pada tahun lalu melalui Klasik Nasional saya terdengar sebuah lagu bertajuk ‘Tiang Agama’ yang sangat indah liriknya. Hari ini saya teringat kembali dan dapat menemui lagu berkenaan. Mudah-mudahan Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya. Nikmati lagu ini dan hayati liriknya dan juga lagu-lagu yang lain.

 

LAPAN TAHUN

Ketika sms daripada isteri masuk awal pagi, saya masih berada di luar daerah. Saya tersenyum membacanya, ucapan selamat itu sekaligus mengingatkan ulangtahun perkahwinan kami yang kelapan. Saya pula sengaja tidak membalasnya.

Tiba di rumah sekitar 6.30 petang, saya bergegas pula bertukar pakaian kerana sudah berjanji kuliah maghrib di Masjid Kg Muhibbah Petagas. Kuliah maghrib tadi bermula hampir jam 7 malam, agak lewat berbanding waktu maghrib sekitar jam 6.04 minit.

Selesai kuliah maghrib dan solat isyak di Masjid Kg Muhibbah, saya singgah sebentar ke kedai untuk menempah kek sebagai kejutan kepada isteri. Saya belum pulang lagi selepas itu kerana menyertai dan merakam kuliah fekah bimbingan Ustaz Haji Muchlish di bilik kuliah Masjid Negeri Sabah yang hanya selesai sekitar 9.30 malam.

Selesai kuliah, ada pula jamaah yang lama tidak berjumpa mengajak minum di sebuah restoran di Sembulan. Saya penuhi hajatnya sebentar dalam keadaan letih sebenarnya. Hampir jam 11 malam barulah saya tiba di rumah dalam keadaan isteri dan anak-anak sudah tidur.

Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keluarga yang ada. Isteri khususnya amat memahami kerja saya yang biasa balik ke rumah lewat malam hampir setiap hari, sesekali program hujung minggu di luar, meragut masa bersama anak-anak. Seorang sahabat yang kini berpindah ke Selangor pernah memberi semangat. Katanya, enta keluar dengan tujuan yang baik, insya Allah anak-anak enta akan dipelihara oleh Allah SWT.

Bukannya langsung tiada gelombang dan ributnya sejak pernikahan pada 12 Oktober 2002 sehingga saat ini, namun perkara yang selalu kami lakukan ialah komunikasi dan perbincangan sesama ahli keluarga termasuk anak-anak. Kemudian saya juga mendengar nasihat pakar motivasi yang mengatakan perlunya masa berkualiti walaupun sedikit bersama keluarga. Mendengar cerita anak-anak tentang sekolahnya, permainan dan pergaulannya.

Saya juga pernah mendengar tazkirah Ustaz Ismail Kamus tentang keberkatan rumahtangga dengan selalu mengamalkan salam apabila masuk dan keluar rumah, makan bersama serta mengundang tetamu ke rumah. Semoga Allah SWT memberkati keluarga kita masing-masing dan memanjangkan kasih sayang sehingga ke syurga.

%d bloggers like this: