Undangan ke SRK St Agnes Likas saya terima sekitar dua minggu sebelum program berlangsung. Ia adalah program 2 hari 1 malam yang dianjurkan oleh Panatia Agama Islam sekolah berkenaan. Saya diminta mengisi tajuk ‘Persediaan Ke Alam Remaja’ memandangkan pesertanya adalah murid-murid darjah enam yang baru sahaja menduduki UPSR mereka.

Ceramahnya saya selama sejam 15 minit menyentuh tentang persoalan umur baligh (seperti keluar mani dan darah haid), mandi hadath, menutup aurat, solat, asing tempat tidur dengan ibu bapa, huraian ringkas rukun iman, rukun islam dan beberapa sifat mahmudah dan mazmumah.

Saya selang selikan ceramah dengan tayangan klip video dan soalan-soalan asas seperti bilangan rukun iman dan islam, bilangan rakaat sembahyang dan lain-lain lagi. Ada yang dapat jawab, ada yang tidak. Ada yang kata solat maghrib dua rakaat dan isyak tiga rakaat. Nampaknya guru-guru agama di sana kena kerja keras lagi.

Saya perhatikan jadual keseluruhan program mereka agak padat tetapi menarik dengan pelbagai slot yang diisi oleh pembimbing dari luar dan dalam sekolah. Siswi-siswi Maahad Tahfiz al-Quran juga kelihatan sebagai fasilitator dalam program mereka. Saya difahamkan tidak semua daripada 150 pelajar darjah enam menyertai program ini kerana ada ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka terlibat.

Semoga ada manfaat untuk semua. Terima kasih atas undangan khusus buat Ustaz Muhasibi, Ustaz Che Noor Mazlan dan guru-guru yang terlibat.