Archive for 11 Oktober 2010


Lima orang diketuai Sdr Lahirul Latigu (Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah) dan Abdul Hameed Abu Bakar (YDP PAS Putatan) sempat menziarahi mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Ahli Parlimen Batu Sapi di Wisma Fook Lu Siew, Jalan Tuaran ahad lalu.

Datuk Edmund maut dalam kemalangan jalanraya di Kota Kinabalu pada 9 Oktober lalu, merupakan wakil rakyat Batu Sapi sejak 2004. Beliau juga merupakan Bendahari Parti Bersatu Sabah (PBS).

Dalam ziarah ringkas berkenaan, wakil pimpinan PAS mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang, dan berharap agar bersabar dengan musibah yang menimpa mereka.

Undangan ke SRK St Agnes Likas saya terima sekitar dua minggu sebelum program berlangsung. Ia adalah program 2 hari 1 malam yang dianjurkan oleh Panatia Agama Islam sekolah berkenaan. Saya diminta mengisi tajuk ‘Persediaan Ke Alam Remaja’ memandangkan pesertanya adalah murid-murid darjah enam yang baru sahaja menduduki UPSR mereka.

Ceramahnya saya selama sejam 15 minit menyentuh tentang persoalan umur baligh (seperti keluar mani dan darah haid), mandi hadath, menutup aurat, solat, asing tempat tidur dengan ibu bapa, huraian ringkas rukun iman, rukun islam dan beberapa sifat mahmudah dan mazmumah.

Saya selang selikan ceramah dengan tayangan klip video dan soalan-soalan asas seperti bilangan rukun iman dan islam, bilangan rakaat sembahyang dan lain-lain lagi. Ada yang dapat jawab, ada yang tidak. Ada yang kata solat maghrib dua rakaat dan isyak tiga rakaat. Nampaknya guru-guru agama di sana kena kerja keras lagi.

Saya perhatikan jadual keseluruhan program mereka agak padat tetapi menarik dengan pelbagai slot yang diisi oleh pembimbing dari luar dan dalam sekolah. Siswi-siswi Maahad Tahfiz al-Quran juga kelihatan sebagai fasilitator dalam program mereka. Saya difahamkan tidak semua daripada 150 pelajar darjah enam menyertai program ini kerana ada ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka terlibat.

Semoga ada manfaat untuk semua. Terima kasih atas undangan khusus buat Ustaz Muhasibi, Ustaz Che Noor Mazlan dan guru-guru yang terlibat.

%d bloggers like this: