Pagi jumaat lalu agak kelam kabut bagi kami suami isteri. Saya kebiasaannya sebelum bergerak ke pejabat akan meninjau sebentar kandang-kandang arnab. Melihat dan memastikan makanan dan minumannya cukup, bekalannya masih ada atau habis dan sebagainya.

Mengejutkan juga melihat ada empat bayi arnab yang kurang kami ketahui siapa ibunya kerana di kandang yang sama terdapat tiga arnab betina dewasa. Tiada tanda-tanda kesan bersalin saya dapati di setiap arnab betina. Hanya bulu-bulu yang banyak bercampur warna apatah lagi warna mereka berlebih kurang saja.

Saya mengambil masa untuk memindahkan arnab-arnab yang lain agar tidak mengganggu empat ekor bayi berkenaan. Hanya meneka-neka dan mengagak mana satu ibunya. Entah tepat atau tidak. Lewat malam setelah pulang, saya tukar lagi arnab betina yang lain dan nampaknya anak-anak itu mahu menyusu.

Kami dalam proses menyiapkan rumah baru mereka. Jadi mereka terpaksa dikumpul dalam beberapa kandang. Ada yang boleh berkumpul, ada juga yang bergaduh dan itu dipisahkan. Dasar rumah baru itu saya buat menggunakan batu simen dan nanti akan disambung dengan papan dan pagar dawai. Lantainya akan diisi dengan tanah, mungkin setinggi dua tapak tangan. Setakat ini terdapat tiga buah ‘bilik’ untuk mereka khususnya kepada arnab betina.

Malang sungguh, belum siap lagi rumah berkenaan, seawal pagi tadi cukup 48 jam setelah kelahiran mereka, saya mendapati anak-anak arnab ini kesemuanya mati. Mungkin kesejukan atau tidak mendapat minuman yang secukupnya. Hujung minggu akan datang, usaha menyiapkan rumah akan diteruskan agar mereka lebih selesa, bersesuaian dengan habitat mereka yang sukakan tanah.