Archive for 9 Oktober 2010


8 September 2008 (Masjid Pulau Melaka, Kelantan)

8 Oktober 2010 (Surau Taman Austral Kota Kinabalu)

“Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam”.

Kuliah selepas solat isyak di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral semalam, beliau isi dengan menyampaikan tafsir ayat 1 daripada surah al-Furqan berdasarkan kitab bertajuk ‘Pembeza Hak dan Batil’. Menurut beliau, buku berkenaan adalah hasil ceramah dan kuliah ayahanda beliau Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kemudiannya disalin semula dalam bentuk tulisan oleh anak-anak murid TG Nik Aziz.

Dalam tempoh sejam itu, beliau menghurai lanjut kalimah ‘tabaaraka’ (berkat), ‘al-furqan’ (pembeza), ‘abdihi’ (hamba-Nya iaitu Muhammad SAW), al-‘alamin’ (seluruh alam) dan ‘nazira’ (peringatan dan amaran) yang terdapat dalam ayat tersebut.

Beliau menyebut contoh-contoh barakah yang sangat dekat dalam kehidupan yang boleh membawa sehingga ke kubur dan akhirat seperti anak-anak yang boleh mendoakan orang tuanya walaupun sesudah matinya, duit yang barakah apabila disumbangkan ke jalan Allah, makanan yang barakah membolehkan kita beramal ibadah dengan baik.

Mempelajari al-Quran sehingga mendalami makna dan huraiannya, akan menyebabkan kita mengetahui perbezaan antara kebaikan dan kejahatan, benar dan salah, hak dan batil. Demikianlah al-Quran dinamakan dengan al-Furqan iaitu pembeza antara hak dan batil.

Allah SWT menunjukkan kasihnya kepada Rasulullah SAW dengan pengisytiharan sebagai hamba yang sebenar-benarnya (abdun). Sehebat bagaimanapun kita kasih kepada isteri kita, kita tidak akan tergamak mengatakan isteri sebagai hamba. Kemuncak kecintaan dan ketinggian pangkat ialah apabila Allah SWT memanggil Nabi Muhammad sebagai hamba-Nya kerana baginda mentaati Allah SWT sepenuh hati dan jiwa raganya.

Beliau juga menyentuh tentang betapa syumulnya al-Quran yang boleh diaplikasikan di seluruh dunia dengan kalimah al-‘alamin. Kalimah itu sendiri menjadi dalil bahawa Islam itu sesuai pada seluruh masa dan tempat, kerana al-Quran  yang memberi peringatan dan amaran itu adalah kalam Allah SWT yang menciptakan langit, bumi dan manusia seluruhnya. Ia menolak tanggapan orang jahil yang mengatakan Islam dan al-Quran tidak boleh dilaksanakan di Malaysia.

Sesungguhnya ayat ini menjadi tanda-tanda kebesaran Allah SWT bagi sesiapa yang mahu memikirkannya.

%d bloggers like this: