Archive for 5 Oktober 2010


BULAN BAHASA KEBANGSAAN

Di sekitar bandaraya Kota Kinabalu, terdapat banyak papan tanda nama seumpama di atas. Foto di atas saya rakamkan dua tahun lalu sedangkan papan tanda ini sudah terpacak lebih lama daripada itu. Saya kurang maklum PBT dan DBP berperanan atau tidak membetulkan kesilapan bahasa yang terlalu jelas itu.

Setiap kali Bulan Bahasa Kebangsaan dilancarkan, suara seperti seruan-seruan memperkasa bahasa kebangsaan berkumandang, kemudian senyap kembali. Tahun berikutnya, seruan itu muncul lagi. Saya kira pengamal media maya seperti web dan blog perlu membudayakan bahasa kebangsaan, kalaupun tidak keseluruhan tetapi berdikit-dikit. Yang perlu diperbaiki, ialah penggunaan bahasa rojak terutama bahasa campur melayu dan inggeris yang tidak terkawal.

PBT Diminta Tegas Bantu Perkasakan Bahasa Kebangsaan

IPOH, 5 Okt (Bernama) — Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta memainkan peranan dalam membantu kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam dengan menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata sekiranya PBT menguatkuasakan undang-undang kecil yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam, dipercayai tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan serta premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

“Penguatkuasaan undang-undang ini juga boleh mengelak kesalahan dalam penggunaan bahasa kebangsaan,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 di Stadium Indera Mulia di sini pada Selasa.

“Peranan PBT amat penting bagi memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan salah satu pemangkin utama dalam mewujudkan perpaduan di negara kita yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.

Muhyiddin berkata pembangunan bahasa kebangsaan pada era mendatang harus memberikan tumpuan kepada dua perkara iaitu penegasan semula Dasar Bahasa Negara dan yang keduanya ialah penyelesaian beberapa masalah pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.

“Penegasan pelaksanaan dan penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan sejajar dengan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara. Peneguhan sikap pengguna bahasa juga hendaklah diberi tumpuan dalam pengisian program Bulan Bahasa Kebangsaan.

Pemupukan sikap dan peneguhan bahasa dalam masyarakat terhadap bahasa kebangsaan tidak harus dipandang ringan kerana kita bimbang bahasa yang yang kurang diungkapkan dalam apa jua suasana akan menghilangkan kewibawaannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap rakyat pelbagai kaum di negara ini dapat menguasai bahasa Malaysia dengan baik dan seterusnya memperkukuhkan perpaduan selaras dengan tema bulan bahasa kebangsaan tahun ini iaitu 1Bahasa, 1Bangsa dan 1Negara,” katanya.

Katanya, hubungan antara kaum dan etnik sentiasa menjadi agenda dalam usaha kerajaan untuk mencapai keharmonian masyarakat dan keamanan negara. Selain itu, Muhyiddin juga menyeru semua pemimpian syarikat korporat supaya tidak meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian mereka.

“Penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan, kewangan dan insurans seperti dalam dokumen rasmi, papan tanda dan borang-borang yang digunakan perlulah di beri penegasan, katanya. Beliau berkata ini penting untuk memastikan bahasa kebangsaan kekal relevan dalam dunia perniagaan dan perdagangan hari ini serta mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

“Saya difahamkan usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengadakan program meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia di kalangan pelajar sekolah persendirian Cina mendapat sambutan dan kerjasama yang erat daripada Gabungan Dewan Perhimpuan Cina Malaysia, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus-Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERPEKTIF).

“Begitu juga dengan Persatuan-Persatuan Penulis India Malaysia dan Penulis Pelbagai Kaum di Sabah dan Sarawak yang memberikan sumbangan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan, katanya.

Muhyiddin turut menyampaikan Anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa Kebangsaan yang julung kali diadakan kepada Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar. — BERNAMA

Dialog ini hanya rekaan. Kalau pada hari akhirat manusia ditanya :

“Kenapa sepanjang hidup kamu tidak pernah tunaikan haji?”

“Wahai Tuhan, saya orang susah, tiada duit, tidak mampu tunaikan haji. Lagipun kos haji semakin mahal”

“Kamu merokok?”

“Err.. ya”

“Sebulan berapa belanja rokok?”

“Ada laa lebih kurang 300 ringgit”

“Setahun berapa?”

“Setahun 3600 ringgit”

“Berapa tahun merokok?”

“Dua puluh tahun”

“Kenapa tidak tunaikan haji?”

“Err…..????”

Harga minimum rokok kini 35 sen sebatang

October 05, 2010

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Berkuatkuasa 1 Okt lepas, Kementerian Kesihatan telah menetapkan harga minimum rokok ialah 35 sen sebatang, atau RM7 bagi sepaket 20 batang rokok. Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata langkah itu membuktikan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kemampuan membeli rokok di kalangan pengguna, khususnya kanak-kanak kerana boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan.

“Rokok telah disahkan sebagai penyebab pelbagai masalah kesihatan dan penyakit-penyakit serius yang boleh membawa kepada kesengsaraan dan kematian. Saya pasti, masyarakat sedar akan bahaya merokok. Generasi muda dinasihatkan agar tidak memulakan tabiat merokok yang amat merugikan dan merosakkan kesihatan ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Penetapan harga minimum itu juga selaras dengan keputusan kerajaan menaikkan cukai rokok sebanyak 3 sen sebatang, yang turut berkuatkuasa Jumaat lepas, menyaksikan harga runcit rokok naik di seluruh negara bermula semalam, iaitu RM10 bagi sepaket 20 batang berbanding RM9.30 sebelum ini.

Sehubungan itu, Liow berkata semua pengilang dan pengimport rokok dikehendaki memohon kelulusan harga baru jualan runcit bagi produk masing-masing kepada kementeriannya sebelum Jumaat ini, bagi menggelakkan ada pihak menjual di bawah harga minimum baru. Beliau berkata selain itu, mereka juga perlu mempamerkan notis harga minimum rokok secara jelas dan mudah dilihat di semua kaunter atau tempat jualan tanpa sebarang logo, jenama, tanda niaga atau deskripsi mengenai rokok berkenaan.

Katanya, kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 2 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. Liow berkata kementeriannya turut menyediakan perkhidmatan seperti klinik berhenti merokok bagi membantu mereka yang terbabit menghentikan tabiat yang terbukti memudaratkan itu.

Berdasarkan statistik, setakat ini terdapat tiga juta perokok atau kira-kira 11 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini. – Bernama

%d bloggers like this: