Alhamdulillah, malam isnin lalu saya berkesempatan hadir dalam majlis sambutan hari raya anjuran Surau an-Nur Taman Limauan Kinarut. Majlis berkenaan dimulakan seawal maghrib dengan solat maghrib dan isyak secara berjamaah. Selesai solat isyak, hadirin sekitar 200 orang yang terdiri daripada penduduk taman berkenaan dihidangkan dengan tazkirah oleh Ustaz Razali dari SMKA Tun Datu Mustapha.

Dalam tazkirahnya beliau mengimbau kembali tentang penghayatan Ramadhan yang sepatutnya sudah menampakkan kesannya selepas bulan Ramadhan. Dalam sibuk menjamu selera dan menghadiri undangan hari raya, beliau turut mengingatkan agar hadirin tidak mengabaikan puasa enam hari dalam bulan Syawal yang ternyata banyak kelebihannya.

Majlis berkenaan juga diserikan dengan persembahan nasyid oleh anak-anak penduduk taman berkenaan yang berumur 12 tahun ke bawah, yang merupakan gabungan murid-murid PASTI al-Aqsa Taman Limauan dan juga pelajar Sekolah Agama Rakyat an-Nur. Selain itu, cabutan pengunjung bertuah juga memeriahkan majlis yang berakhir sehingga jam 9.30 malam.

Tahniah kepada penganjur dan seluruh penduduk taman yang terlibat. Sewajarnya perkara baik seperti ini wajar diteruskan dan dikembangkan lagi.