Foto di atas dirakam pada bulan Mei lalu. Arnab jantan ini salah satu daripada sembilan arnab dewasa yang kami miliki. Selain itu, ketika itu juga terdapat empat ekor anak-anak kecil arnab yang baru dilahirkan. Arnab ini saya beli di Asia City sejak ia berusia 3 minggu dan sekarang tidak salah saya berumur sekitar 2 tahun.

Ia antara arnab yang tidak banyak menimbulkan masalah kepada kami. Kerana di kalangan arnab-arnab ini ada yang agak ‘nakal’ dengan suka menggigit orang yang cuba menyentuhnya. Maka saya sendiri agak selesa dengan arnab ini.

Namun beberapa hari lalu, pagi selasa lalu kami dikejutkan dengan salah satu kandang arnab yang berada dalam keadaan terbalik. Dalam kandang itu ada sepasang arnab dewasa. Arnab putih ini berlumuran darah dan memercik ke kawasan sekitarnya. Lebih menyedihkan kaki kiri sebelah belakang putus. Berdasarkan pengalaman, saya menjangkakan arnab ini  mungkin mati selewat-lewatnya pada tengah malam kerana keadaan tubuh yang sudah mengeras.

‘Geram’ dengan keadaan itu, saya beli lagi lima ekor anak-anak arnab, empat betina dan seekor jantan berusia antara tiga  hingga empat minggu di Asia City. Lima ekor untuk setiap seorang anak-anak kami yang lima orang itu.