Archive for 26 September 2010


27 RAMADHAN DI MESIR

Terima kasih kepada semua yang menjayakan video klip ini. Mudah-mudahan Allah swt membalas kebaikan mereka semua. Dari Masjid al-Qaed Ibrahim, Iskandariah Mesir. Mudah-mudahan suasana sebegini akan berlaku di negara dan negeri kita suatu hari nanti.

Buku yang baru dibaca :


Penulis : Riduan Mohamad Nor

Penerbit : Jundi Resources

Harga : RM20.00 /RM25.00

Saya menyimpan koleksi buku yang banyak hasil tulisan Ustaz Riduan Mohamad Nor. Buku hebat ini bagi saya adalah tulisan terbaik yang pernah saya baca khususnya berkaitan tentang catatan perjalanan dan pengalaman dalam misi menyantuni umat Islam di beberapa benua. Hampir separuh buku ini berlegar tentang bumi Gaza Palestin, tempat kelahiran imamuna Imam asy-Syafie Rahimahullah Ta’ala. Separuh lagi diisi dengan pengalaman sarat misi kemanusiaan ke Lubnan, Indonesia, Pakistan dan Bangladesh.

Bagi saya ia juga bukan sekadar satu catatan perjalanan dalam sebuah misi kemanusiaan, tetapi juga menyuntik semangat du’at di luar sana untuk sama-sama menggembeling tenaga membantu umat Islam di mana sahaja mereka berada. Ia menepati nas al-Quran dan hadith Rasulullah SAW bahawa umat Islam itu bersaudara. Ia tidak dibatasi dengan sempadan negara dan benua, kerana aqidah dan Tuhan kita satu. Setiap umat Islam bertanggungjawab membantu saudara seagamanya menurut kemampuan dan kedudukan masing-masing. Yang ada kekuatan tenaga, datang berkelana. Yang ada kekuatan harta, menghulur dana.

Ini buku wajib dibaca kepada aktivis amal kemanusiaan khususnya penggerak dakwah dan harakah islamiyyah di Malaysia. Saya bersemangat membacanya. Cukup tiga catatan berikut saya salinkan semula, untuk membangkit semangat dan rasa kita supaya menghayati buku ini dan seterusnya menyumbang sesuatu demi persaudaraan Islam. Sekalung tahniah untuk Ustaz Riduan dan semua aktivis harakah Islamiyyah.

HATI TERSAYAT DI BUMI PELARIAN

Semasa di Gaza, saya ditaklimatkan tentang kehidupan yang sangat buruk di khemah pelarian dengan kepadatan melebihi 50,000 penghuni di setiap kem pengungsian. Kem pelarian sangat sesak dengan kemudahan untuk penghuninya sangat terbatas, angka penduduknya sentiasa meningkat dengan pantas kerana rakyat Palestin berkahwin dalam usia yang muda dengan ambisi untuk melahirkan sebanyak mungkin zuriat.

MEREDAH LALUAN KE GAZA

Semenjak di alam kampus saya berniat untuk mewakafkan diri untuk perjuangan Islam, mendedikasikan diri dalam wadah Islam, terutama untuk membantu umat Islam yang sentiasa diserkap kesusahan. Antara yang saya cintakan ialah pembebasan al Quds, kiblat pertama umat Islam, tidur saya terganggu dengan isu Gaza, ada mimpi ngeri yang mencakar lena, Palestin dan kedukaannya sentiasa dalam doa saya ketika bersimpuh di tikar sejadah mahupun ketika  melantunkan doa di mimbar khutbah. Demi Allah! Cintaku pada Palestin mengalir dalam aliran darahku setiap masa semenjak penggabungan dengan harakah Islam yang sentiasa mengambil berat isu Palestin.

MUSLIMAT PALESTIN BERBEZA?

Secara umumnya mereka mempunyai anak-anak yang ramai termasuk pemimpin HAMAS sendiri. Dr Nizar Abdul Kadir Rayyan, anaknya 12 orang (semua syahid di dalam serangan Israel). Berpoligami bukanlah perkara pelik di Gaza, kerana mereka ingin meramaikan zuriat dengan apa yang dinamakan ‘bom demografi’. HAMAS dan pejuang Islam ingin meramaikan manusia berkualiti di bumi Gaza, kematian mesti diganti dengan kelahiran yang baru. Lima bulan sahaja selepas seramai serangan di Gaza, pihak HAMAS telah menyediakan program menyunting balu syuhada. Balu syuhada telah siap untuk melahirkan barisan pejuang yang baru, yang pergi tidak perlu ditangisi dengan tempoh panjang kerana mereka yang syahid telah menyunting bidadari yang bermata jeli.

Balu syuhada adalah manusia yang berjiwa besar kerana mentaati dasar HAMAS untuk mencetak pejuang baru. Mereka mengetepikan perasaan cemburu untuk berkongsi suami, matlamat perjuangan adalah lebih utama. Mereka, wanita penghafal a-Quran ini tidak mempunyai¬† masa untuk bergossip dan menyelongkar kisah dalam kelambu rumahtangga orang lain. Jauh berbeza dengan kehidupan segelintir ‘muslimat’ di tempat kita yang suka menjaja kisah rumahtangga orang lain.

%d bloggers like this: