Saya selalu mengingatkan diri agar tidak mengabaikan puasa enam. Para ulama memahami beberapa nas hadith mengatakan bahawa antara tanda puasa Ramadhan seseorang itu diterima oleh Allah SWT ialah ia suka untuk berpuasa sunat. Namun bukan pula untuk mengatakan seseorang itu ditolak puasa Ramadhannya hanya kerana ia tidak berpuasa enam.

Puasa enam boleh digabung dengan puasa qadha dengan syarat mendahulukan niat qadha. Namun mengasingkannya adalah lebih baik kerana lebih banyak amalannya, juga bagi keluar daripada perselisihan bagi mereka yang tidak menyetujui bahawa puasa sunat boleh digabung dengan puasa wajib.

Namun lebih menarik, jika puasa sunat enam itu bertepatan dengan hari khamis dan hari-hari putih (13,14 dan 15 setiap haribulan Islam), jadi boleh diniatkan dengan 3 dalam 1. Kalau campur qadha, jadilah 4 dalam 1.

Puasa enam kadang-kadang menjadi berat dan sukar apabila kita hanya sendirian, di tengah-tengah kawan-kawan yang seronok membawa kuih raya dan mengadakan rumah terbuka. Jika begitu, bagus juga berpuasa dan bersungkai beramai-ramai seperti yang dilakukan oleh sahabat-sahabat jamaah Surau Taman Austral.

Mereka bersepakat berpuasa enam dan akan berhari raya kali kedua pada isnin akan datang. Sementara masa dan Syawal masih ada, saya turut menyeru para pembaca, mari puasa enam. Amalan sunat seperti ini adalah tanda kecintaan Allah swt kepada hamba-Nya, dan tanda hamba-Nya mencintai Allah swt.

Daripada Abu Hurairah ra beliau berkata : Rasulullah SAW telah bersabda : Sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman :

“Barangsiapa yang memusuhi seorang waliKu, maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Seorang hambaKu tidak bertaqqarub (iaitu menghampirkan dirinya) kepadaKu dengan suatu amalan yang lebih Aku sukai lebih daripada amalan yang Aku fardhukan ke atasnya. Seseorang hamba sentiasa bertaqqarub dirinya kepadaKu, dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya.

Apabila Aku sudah mencintainya, maka jadilah Aku pendengarannya yang dia mendengar sesuatu dengannya, jadilah Aku penglihatannya yang dia melihat sesuatu dengannya, jadilah Aku tangannya yang dengannya dia melakukan kerja, jadilah Aku kakinya yang dengannya dia berjalan. Sekiranya dia meminta daripadaKu Aku akan kurniakannya dan sekiranya dia meminta perlindungan dariKu nescaya Aku akan melindunginya.” (HR al-Bukhari)