Archive for 21 September 2010


SEPETANG BERSAMA ANAK-ANAK KAIDUAN

Disalin dari blog Abd. Naddin Shaiddin

Emma Pius kelihatan malu-malu ketika saya bertanya kepadanya.

“Saya bercita-cita menjadi doktor,” kata gadis berusia 13 tahun itu. Rakannya, Amelina juga mahu menjadi doktor. Jarlin yang duduk di tepi sekali pula bercita menjadi polis.

“Di kampung kami, belum ada orang yang menjadi doktor,” kata Emma. “Saya mahu mengubat orang sakit,” katanya kepada saya dalam perjalanan ke Kampung Kaiduan, Papar.Sekolah ditutup selama dua minggu dan petang itu, mereka pulang ke rumah masing-masing.

Mereka merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut Papar. Hari itu, Cikgu Abdul Hamid Abu Bakar ditemani Cikgu Azmi Mohd. Buang mengambil inisiatif menghantar mereka pulang kampung dengan kereta Hi-Lux yang dipandu Ibrahim Dukalan. Pelajar-pelajar dari Kaiduan dan kampung-kampung di sekitarnya, 12 orang semuanya, terpaksa bersesak-sesak dalam kereta itu untuk pulang kampung.

Saya diajak Cikgu Hamid untuk ikut serta bagi merasai pengalaman `naik bukit, turun bukit’ semata-mata untuk menimba ilmu. Jarak antara Kampung Kaiduan dengan SMK Kinarut memang agak jauh. Sebelum ini mereka terpaksa berangkat dari rumah kira-kira jam 4.00 pagi. Mereka berjalan kaki dari rumah hingga ke sekolah dan tiba di sekolah sebelum loceng dibunyikan. Mereka terpaksa berjalan kaki menyusuri jalan berbukit bukau yang sepi, meredah dingin udara pagi dalam cuaca yang kadangkala hujan.Namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk ke sekolah.

“Kamu tidak takutkah jalan pagi-pagi?” saya bertanya kepada Emma. “Kami nda takut,Biasa saja,” kata gadis bersemangat waja itu.Dia yang terpaksa mengharungi tiga sungai dari kampungnya sebelum merentasi jambatan gantung di Kaiduan, benar-benar dahagakan ilmu pengetahuan.

“Kenapa mahu jadi doktor?

Emma mahu menjadi doktor kerana setiap kali dia menyaksikan betapa orang-orang dari kampungnya terpaksa berjalan kaki berkilo-kilometer jauhnya untuk ke Pekan Kinarut bagi mendapatkan rawatan di klinik. “Kalau saya jadi doktor, saya boleh merawat ibubapa saya,” katanya.

Jika ada rumah persinggahan di tengah jalan dibina untuk kemudahan mereka, barangkali itu akan lebih baik. Tetapi setakat ini mereka tidak ada pilihan melainkan terpaksa kemalaman di tengah perjalanan jika tidak ada kenderaan yang mereka dapat tumpangi. Bagi kanak-kanak seperti Emma, kehidupan ibubapa mereka yang kebanyakannya menjadi petani, mendorong mereka untuk belajar lebih tinggi lagi. Selain Emma, terdapat berpuluh-puluh pelajar lagi dari Kaiduan, Bisuang, Tamahing, Mondikot, Malansi, Moliun dan kampung-kampung lain.

Saya sempat juga berkenalan dengan Victor, Joel, Gerard, Libri dan pelajar-pelajar lain yang saya tidak ingat nama mereka. Biasanya kos tambang dari Kaiduan ke Kinarut ialah RM5.00 tetapi kalau ada kereta, “kadang kami tidak minta tambang daripada kami”, atau kadang ada juga yang membayar RM1.00. Tetapi oleh kerana mereka pelajar sekolah, maka pemilik kenderaan tidak menagih tambang daripada mereka.

Namun dalam banyak waktu, mereka terpaksa berjalan kaki dari rumah untuk ke sekolah di SMK Kinarut. Saya dapat membayangkan betapa sukarnya mereka ke sekolah dengan hanya berjalan kaki. Berjalan kaki lebih tiga jam ke sekolah memang menuntut kecekalan dan ketabahan. Cikgu Abdul Hamid memberitahu saya mengenai kesukaran para pelajar itu untuk ke sekolah. Walaupun pelajar itu kini ditempatkan di Asrama Sekolah, tetapi mereka tetap memerlukan sebuah rumah persinggahan yang perlu dibina di pertengahan jalan untuk berteduh daripada cuaca atau berehat melepaskan lelah. Rumah persinggahan itu perlu dibina untuk kegunaan penduduk kampung untuk berulang alik ke Pekan Kinarut yang jauh jika ditempuh dengan berjalan kaki.

Kaiduan, Bisuang,Tamahing, Mondikot dan sebagainya merupakan kampung terpencil yang perlukan perhatian daripada kerajaan terutamanya dalam memastikan anak-anak kampung itu mampu menikmati kemudahan pendidikan yang memadai. Selain itu kebajikan penduduk kampung juga perlu diberikan keutamaan. Bagaimanapun, penduduk kampung menikmati bekalan elektrik dan bekalan air paip. Cuma kemudahan jalan raya perlu diperbaiki bagi membolehkan petani memasarkan hasil pertanian mereka supaya mereka dapat menambahkan sumber ekonomi sekaligus dapat memperbaiki taraf ekonomi mereka.

Masyarakat kampung telah meminta kerajaan supaya memperbaiki kemudahan jalan raya di Kaiduan dan kampung sekitarnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Haji Ghulam Haidar Khan yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar turut memberikan perhatian terhadap masalah itu dan telah beberapa kali membangkitkan masalah itu dalam sidang DUN. Beliau juga difahamkan selalu turun padang melawat Kaiduan. Begitu juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Rashid Shirlin juga menunjukkan keprihatian terhadap permasalahan penduduk kampung.

Jika kerajaan dapat memperbaiki kemudahan prasarana seperti jalan raya, adalah tidak mustahil cita-cita Emma, Amelina, Jarlin dan anak-anak lain untuk menjadi orang berguna akan tercapai.

-tersiar di Utusan Borneo 18 September 2010


Saya selalu mengingatkan diri agar tidak mengabaikan puasa enam. Para ulama memahami beberapa nas hadith mengatakan bahawa antara tanda puasa Ramadhan seseorang itu diterima oleh Allah SWT ialah ia suka untuk berpuasa sunat. Namun bukan pula untuk mengatakan seseorang itu ditolak puasa Ramadhannya hanya kerana ia tidak berpuasa enam.

Puasa enam boleh digabung dengan puasa qadha dengan syarat mendahulukan niat qadha. Namun mengasingkannya adalah lebih baik kerana lebih banyak amalannya, juga bagi keluar daripada perselisihan bagi mereka yang tidak menyetujui bahawa puasa sunat boleh digabung dengan puasa wajib.

Namun lebih menarik, jika puasa sunat enam itu bertepatan dengan hari khamis dan hari-hari putih (13,14 dan 15 setiap haribulan Islam), jadi boleh diniatkan dengan 3 dalam 1. Kalau campur qadha, jadilah 4 dalam 1.

Puasa enam kadang-kadang menjadi berat dan sukar apabila kita hanya sendirian, di tengah-tengah kawan-kawan yang seronok membawa kuih raya dan mengadakan rumah terbuka. Jika begitu, bagus juga berpuasa dan bersungkai beramai-ramai seperti yang dilakukan oleh sahabat-sahabat jamaah Surau Taman Austral.

Mereka bersepakat berpuasa enam dan akan berhari raya kali kedua pada isnin akan datang. Sementara masa dan Syawal masih ada, saya turut menyeru para pembaca, mari puasa enam. Amalan sunat seperti ini adalah tanda kecintaan Allah swt kepada hamba-Nya, dan tanda hamba-Nya mencintai Allah swt.

Daripada Abu Hurairah ra beliau berkata : Rasulullah SAW telah bersabda : Sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman :

“Barangsiapa yang memusuhi seorang waliKu, maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Seorang hambaKu tidak bertaqqarub (iaitu menghampirkan dirinya) kepadaKu dengan suatu amalan yang lebih Aku sukai lebih daripada amalan yang Aku fardhukan ke atasnya. Seseorang hamba sentiasa bertaqqarub dirinya kepadaKu, dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya.

Apabila Aku sudah mencintainya, maka jadilah Aku pendengarannya yang dia mendengar sesuatu dengannya, jadilah Aku penglihatannya yang dia melihat sesuatu dengannya, jadilah Aku tangannya yang dengannya dia melakukan kerja, jadilah Aku kakinya yang dengannya dia berjalan. Sekiranya dia meminta daripadaKu Aku akan kurniakannya dan sekiranya dia meminta perlindungan dariKu nescaya Aku akan melindunginya.” (HR al-Bukhari)

%d bloggers like this: