Archive for 19 September 2010


TIGA KISAH SUAMI ISTERI

Kisah 1

Pengalaman awal ketika di Masjid Negeri Sabah sangat mendebarkan. Ketika baru bertugas di sana, saya didatangi oleh pasangan suami isteri yang agak veteran, barangkali umur 50an dan 60an. Kedua-duanya datang dengan muka yang masam mencuka. Rupanya baru lepas bergaduh, sang suami minta agar isterinya dinasihatkan. Sang isteri pula minta agar suaminya dinasihatkan. Nampak kedua-duanya enggan mengalah. Kemudian salah menyalahkan.

Saya baru tahu saat itu bahawa tugas imam di Masjid Negeri bukan sekadar mengimam solat, mengajar mengaji dan memimpin kenduri kendara bahkan lebih daripada itu. Imam menjadi tempat masyarakat merujuk hukum, meminta nasihat dan pendapat, meminta air penawar sakit jiwa dan rohani yang menimpa, tidak kurang meminta bantuan kewangan. Pendeknya pak imam dilihat orang yang mempunyai segala jawapan kepada masalah yang dihadapi.

Ketika itu saya baru dua tahun mendirikan rumahtangga. Apa sangatlah yang saya tahu untuk menyelesaikan masalah orang lama seperti pakcik dan makcik itu. Namun, Allah SWT memberi saya ilham saat itu juga untuk menjawab secara ringkas. Saya pandang wajah pakcik yang sudah berkedut itu : “Pakcik sayang isteri pakcik?” “Sayang”, jawabnya. “Makcik sayang suami?” “Sayang”, jawab makcik. “Selesailah masalah”, jawab saya. Akhirnya mereka berdua pulang sambil tersenyum.

Kisah 2

Di pejabat, saya masih buntu menghadapi satu kes yang tidak selesai. Kisah suami isteri yang ada kaitan masalah aqidah. Ia ada unsur sihir. Seorang isteri yang dikenali sebagai B berlatar belakangkan peribadi yang kurang elok dikahwini oleh seseorang yang berpenampillan agama. Ramai orang hairan dan bercakap di belakang. Ada saksi beritahu, si suami seperti kuli dan dibodoh-bodohkan di rumah sendiri oleh sang isteri.

Kes bertambah rumit apabila ada orang ketiga, keempat dan kelima dalam cerita mereka. Lelaki lain bebas tidur dan tinggal di rumah mereka berbulan lamanya. Seorang anak dara yang baik juga terperangkap dalam kes mereka, apabila sanggup membuang keluarga sendiri dan tiba-tiba mengasihi tanpa sebab B dan suaminya. Kata seorang sahabat yang mahir ilmu perubatan Islam, ia ada unsur sihir tafriq dan sihir mahabbah.

Saya kurang maklum perkembangan terkini, tetapi ada yang mengkhabarkan B sudah meninggalkan suaminya begitu sahaja dan berkahwin dengan orang lain. Isu sihir terhenti begitu sahaja.

Kisah 3

Saya ada seorang kawan yang keluarganya memang baik hati dengan saya sejak lama. Dia sudah berumahtangga dengan seorang perempuan yang baik juga. Saya sedikit sebanyak mengetahui kebaikan mereka berdua kerana sudah kenal rapat beberapa tahun lalu.

Saya dapat tahu kisah sedih dan episod duka mereka saat ini. Kalaupun bukan unsur orang ketiga, ia mungkin unsur makhluk ketiga. Sang suami yang baik ini tiba-tiba berubah sikap mendadak. Tiba-tiba saja komunikasi menjadi suram, sms benar-benar semakin kurang dan ringkas sedangkan dia sebelum ini tidak begitu. Sang suami tidak mahu berbincang langsung.

Saya mengesyaki sesuatu. Ada unsur sihir tafriq dan sihir mahabbah dalam hubungan mereka. Sang suami tidak menyedari dirinya sedang dikawal dari jauh, otaknya dikuasai dan dipengaruhi. Sang isteri semakin sedih, kerana suami mula bercerita yang bukan-bukan. Mudah-mudahan itu bukan luahan hatinya yang sebenar. Pohon doakan.

Seramai 537 bakal jamaah haji terlibat dalam Kursus Haji Perdana 1431H Peringkat Pantai Barat Sabah selama dua hari iaitu 18 dan 19 Sept 2010 (semalam dan hari ini) di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu yang dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Ketua Menteri YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau antara lain mengucapkan tahniah kepada  semua pihak yang terlibat khususnya kepada Tabung Haji yang sedaya upaya memimpin dan membimbing para bakal jamaah haji saban tahun. Dalam masa yang sama beliau turut menasihatkan para bakal jamaah haji agar mematuhi peraturan haji dan undang-undang negara berkenaan.

Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Pengurus Besar Bimbingan YM Tengku Aziz Raja Abdullah; Pengarah Tabung Haji Negeri Sabah Haji Norber Kassim serta pegawai dan kakitangan Tabung Haji Sabah bersama-sama bakal haji dari Kudat sehingga ke Sipitang, termasuk 56 orang dari Wilayah Persekutuan Labuan.

Sepanjang kursus dua hari berkenaan, para peserta dihidangi dengan ceramah bertajuk ‘Falsafah dan Haji Mabrur’ oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim; ‘Taklimat dan Praktikal Ibadah Haji’ (wukuf, mabit di Muzdalifah, Mina dan melontar serta tahallul awal) juga oleh Ustaz Haji Muchlish; ‘Taklimat Tawaf, Saie dan Tahallul’ oleh Ustazah Hajah Zubaidah Jamadi.

Menariknya para peserta juga dilatih dengan sesi praktikal seperti tawaf dan saie dengan berpakaian ihram di perkarangan Masjid Negeri Sabah dalam suasana hujan renyai-renyai mengikut nombor maktab masing-masing. Turut serta membimbing kumpulan masing-masing ialah Tuan Imam Haji Madli Mansur, Ustazah Hajah Zubaidah Jamadi selain Ustaz Haji Muchlish sendiri selaku ketua pembimbing.

Pada pagi ahad, para peserta dibimbing dengan ibadah qiyamullail bimbingan Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar dan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim. Qiyamullail adalah ibadah yang sewajarnya tidak diabaikan oleh jamaah haji baik sama ada di Makkah atau di Madinah. Justeru bimbingan yang diberikan oleh para ustaz sebenarnya amat berguna kepada semua.

Dalam taklimat akhir, Pengarah Tabung Haji Negeri Sabah Haji Norber Kassim menjelaskan, sehingga saat ini seramai 1035 bakal jamaah haji dari Negeri Sabah dijangka menunaikan fardhu haji tahun ini dalam dua penerbangan iaitu 16 dan 22 Oktober 2010. Para jamaah haji katanya dinasihatkan agar selalu merujuk pejabat tabung haji berdekatan untuk mendapatkan maklumat terkini.

***

Abu Nuha Corner mendoakan agar semua bakal haji dikurniakan kesihatan dan ilmu yang barakah sehingga dapat menunaikan fardhu haji dan kembali  ke tanahair memperolehi haji yang mabrur. Saya lihat ramai bakal jamaah haji mengalirkan air mata saat Ustaz Haji Muchlish merafa’kan doa memohon  kepada Allah SWT agar mengurniakan mereka kesempatan beribadah di tanah suci. Allahumma amin!

%d bloggers like this: