Belum hilang letih perjalanan 7 jam keseluruhan Labuan-KK termasuk singgah beraya rabu lalu, kami sekeluarga bermusafir lagi kali ini ke daerah Sipitang dan Lawas di Sarawak menziarahi keluarga dan kampung halaman. Saya lahir di Sipitang 31 tahun lalu ketika keluarga tinggal di sini. Bapa adalah pengetua di SMK Pengiran Omar ketika itu.

Perjalanan dengan kelajuan sederhana dari rumah sekitar 8.30 pagi dengan sasaran tiba di Kampung Buang Sayang dalam tempoh dua jam. Sesekali saya bercerita dengan isteri dan anak-anak tentang keluarga dan kampung halaman. Biar mereka kenal asal usul. Perjalanan lancar kecuali di beberapa kawasan persimpangan pekan seperti Papar dan Beaufort.

Di rumah keluarga Cikgu Haji Zainal Timbang dan Hajjah Maryam Mahali, kami berehat sebentar. Di sana, bapa sudah siap menunggu yang baru datang dari Labuan sejam lalu menaiki bot laju, dan juga sanak saudara yang lain akan turut serta dalam musafir ini. Kesemuanya empat buah kenderaan bergerak tepat jam 11 pagi menuju ke lokasi pertama, bandar Lawas. Melenting saya  seketika apabila kami  bergambar sebelum bergerak, menyalahkan diri, kerana membawa kamera  tanpa bateri yang tertinggal sedang dicas di rumah.

Sejam sahaja, kami tiba untuk berehat dan makan tengahari di bandar Lawas. Jumlah kami agak ramai termasuk anak-anak, semuanya menempah menu berat kebanyakannya nasi ayam. Barangkali terkejut dengan rombongan kami yang ramai ditambah lagi dengan suasana raya – orang jarang makan di kedai ketika ini, tuan kedai tidak kecukupan bekalan nasi ayam. Sebahagian menempah soto yang murah harganya. Kami hampir 20 orang dan jumlah bayaran sekitar RM70 sahaja.

Kami bergerak ke Kampung Gelapas, Trusan Lawas dan singgah sebentar di Taman Perkuburan Umat Islam kampung berkenaan. Singgah mencari kubur Allahyarham nenek yang tidak pernah kami temui. Dia meninggal dunia pada 1947, ketika bapa berumur 3 tahun. Kawasannya redup dan nyaman dilindungi oleh pohon-pohonan yang besar di sekitarnya. Ketika ini baru saya tahu bahawa nenek kami dikebumikan di sini.

Tidak lama, kami kemudian menziarahi beberapa rumah yang dikenali sebagai keluarga besar kami juga. Orang-orang tua mereka adalah pangkat pupu dua kali dengan bapa kami. Anak-anak mereka ada pupu tiga kali kami. Cucu-cucu mereka adalah pupu empat kali anak-anak kami. Wah terlalu besar keluarga ini! Along mencatatkan salsilah yang sudah dibuatnya sejak lima tahun lalu. Pencariannya sudah sampai ke moyang yang 6 atau 7, yang berasal dari Hong Kong. Patutlah muka kami ada iras-iras cina juga. Hehe..

Ada seorang atok yang kami ziarahi, berjalan sudah hampir mencecah tahap rukuk, mendakwa umurnya 100 tahun. Katanya ketika perang dunia pertama (1914-1918), umurnya 17 tahun. Kalau benar, kini umurnya sekitar 110 tahun. Wallahu a’lam sejauh mana kebenarannya. Sama ada dakwaan atok itu benar atau tidak, kami kurang maklum. Hanya sekadar mendengar kisah-kisah mereka orang-orang lama.

Namun yang menarik perhatian sepanjang ziarah empat buah rumah di kampung berkenaan, adalah hidangan kek lapis Sarawak yang ada di setiap rumah. Sedap. Alhamdulillah, saudara dapat, makan pun dapat.