“Dia ni lahir songsang ni..” demikian kata-kata ibu Hajah Amit kepada kami menunjuk kepada saya sejurus kami tiba di rumah beliau. Kami semua tertawa ketika masih belum duduk di kerusi sofanya. Ia mengimbas kenangan dan kisah lebih 31 tahun lalu.

***

Sekembali kami dari berziarah di Kg Gelapas Trusan Lawas, tiba di rumah Pakcik Haji Zainal Timbang di Kampung Buang Sayang sekitar jam 5.30 petang. Saya berunding dengan isteri berkira-kira hendak pulang ke Kota Kinabalu seusai solat jamak maghrib dan isyak di rumah berkenaan. Hampir maghrib, bapa bertanya, “Mau ziarah mama angkatmu?”

Saya terkejut dan mengingat semula nostalgia lama. Saya tidak tahu kisahnya, tapi teruja. Mesti menarik, bisik saya. Saya lahir pada 1979 di Kampung Buang Sayang Sipitang. Lebih tepatnya di rumah guru, SMK Pengiran Omar Sipitang ketika itu bapa bertugas sebagai pengetua di sana. Saya diberitahu, dalam adik beradik kami, hanya saya yang lahir di Sipitang sementara yang lain semuanya di Labuan.

Selesai maghrib, kami sebanyak tiga buah kereta bergerak ke sana. Hati saya berdebar juga sebenarnya. Saya baru tahu bahawa saya punya keluarga angkat. Bapa kata, selesai dilahirkan, saya diangkatkan kepada keluarga jururawat ini. Hajah Amit dikenali di daerah ini sebagai seorang jururawat dan sekaligus bidan selama perkhidmatannya lebih 36 tahun.

Bayi itu (saya) asalnya didapati songsang dalam perut emak, lalu atas pengalaman dan kepakarannya boleh mengurut dan memutar kedudukan bayi agar lahir secara normal. Perlu diingat zaman itu belum ada cerita scan dan doktor pakar seperti sekarang. Justeru kepakaran dan kebolehan Hajah Amit begitu diperlukan, khususnya di Sipitang ini. Barangkali terhutang budi dan jasanya, saya langsung dianak angkatkan kepada mereka.

Selain kisah saya dilahirkan songsang itu, pertemuan jejak kasih yang bersejarah ini juga menemukan bapa dengan suami Hajah Amit iaitu Cikgu Pengiran Haji Abdul Rahman, yang sudah bersara dari perkhidmatan perguruan beberapa tahun lalu. Nampaknya kami semua gembira dengan pertemuan ini. Mereka mengimbas kembali saat-saat berkhidmat dahulu tambahan lagi bapa bertugas di sini sekitar 3-4 tahun pada akhir 70an.

Ngian bersemangat menceritakan nostalgia mereka apatah lagi kisah beliau diserang angin ahmar beberapa ketika lalu. Lebih emosi mereka berdua saling bercerita detik anak sulung mereka, Pengiran Adnan yang kembali kerahmatullah ketika berumur 37 tahun empat tahun lalu setelah lemas di laut tidak jauh dari pantai SMKPO dalam cuaca yang tidak begitu mengizinkan. Allahyarham adalah rakan abang saya ketika mereka belajar bersama-sama.