Bapa kami kalau tidak salah saya ada 14 beradik melalui dua ibu. Empat campur sepuluh. Daripada 14 ini, ada dua yang sudah kembali kerahmatullah, sementara yang masih hidup bertebaran di merata tempat. Ada di Johor, Kota Kinabalu, Sipitang dan Labuan. Generasi berikutnya, iaitu anak-anak mereka (generasi kami- adik beradik dan sepupu) sudah tentu lebih ramai jumlahnya. Selain lokasi tadi, ada yang bermastautin di Brunei Darussalam, tanah Semenanjung dan ada juga di luar negara terutama yang bekerja.

Semakin menurun generasi (anak-anak kami), jumlahnya semakin ramai. Taraf anak-anak buah sudah ramai tidak dikenali lagi. Ada yang sudah mencapai pertengahan umur 20an, bekerja atau masih menuntut di universiti di dalam atau di luar negara. Kalau sepupu di sebelah emak, sudah ada yang punya cucu.

Hari raya selain mengeratkan kekeluargaan yang semakin membesar, yang sudah tiada tetap tidak dilupa. Mengirimkan mereka bacaan al-Quran bersama doa mudah-mudahan mereka semua dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta mengingatkan diri akan kematian yang pasti menjemput dan bertamu suatu hari nanti.

Di kalangan mereka yang sudah kembali ini, ada yang tidak pernah kami kenali dan temui. Di sebelah bapa, adik beradik kandungnya seramai empat orang. Yang pertama sudah kembali ke rahmatullah di Brunei Darussalam (saya tidak pernah bertemu dengannya), sementara yang terakhir meninggal dunia ketika bayinya. Yang masih ada pakcik nombor dua di Petagas dan bapa kami di Labuan. Zakaria bin Mahali dan Othman bin Mahali.

Nenek Mahali sudah kembali kerahmatullah pada tahun 2002 di Labuan, ketika saya masih di Mesir. Saya teringat, beberapa hari sebelum pemergiannya saya bermimpi bertemu dengannya di rumah dipenuhi oleh sanak saudara yang berkumpul dari semua rumah masing-masing. Tidak lama selepas itu saya di Mesir dikhabarkan berita pemergiannya.

Isteri pertamanya, Kamariah binti Sahat meninggal dunia sekitar tahun  1947, ketika berumur antara 20an atau 30an, khabarnya dalam tempoh melahirkan adik bapa kami. Ketika itu umur bapa sekitar 3 tahun. Kami semua sudah tentu tidak pernah menemuinya.

Kesempatan berziarah dan berhari raya di Kg Gelapas, Trusan Lawas, Sarawak memberi makna yang sangat besar dalam hidup kami. Kami diceritakan tentang Allahyarham Kamariah yang tidak pernah kami temui. Kehidupan yang susah – tahun 30an dan 40an, hambatan penjajah dan kemiskinan yang menimpa mereka suami isteri dan anak-anaknya.

Saya hanya pernah datang ke Kg Gelapas ini lebih 25 tahun lalu, teringat mandi di sungai dan kelemasan kerana tidak tahu berenang. Kali ini saya datang bersama isteri dan anak-anak, membawa kereta sendiri buat pertama kalinya, lalu menyelami erti kehidupan dan menziarahi kubur nenek buat pertama kali yang tidak pernah ditemui. Semoga Allah mencucuri ruh mereka semua yang telah mendahului kita.