Program Ramadhan lalu di Ranau dan sebelumnya ziarah rumah sahabat di Kota Belud mengingatkan saya satu kisah lucu. Ia kisah antara polis trafik dan gerombolan lembu. Kisahnya berlaku ketika saya masih bertugas di Istana Negeri Sabah.

Satu jumaat, kami (istana negeri) dijadualkan menunaikan solat jumaat di Masjid Daerah Tuaran. Biasanya saya datang lebih awal bagi meninjau masjid yang bakal dikunjungi dan menyambut ketibaan TYT di sana. Namun kali ini saya tiba bersama-sama dengan rombongan TYT.

Saya berada di kereta nombor tiga. Pertama kereta rasmi TYT. Kedua kereta polis juruiring (bodyguard). Ketiga saya menaiki kereta istana bersama-sama  pemandu dan pelayan istana. Khabarnya ada jamuan tengahari selepas solat jumaat di sana.

Dari istana, kami bergerak sekitar 11.45 pagi, melalui jalan sulaman. Rombongan kami diiringi oleh lima polis trafik lengkap bermotosikal. Tiga daripada mereka jauh di hadapan, mengosongkan laluan meminta kereta lain ketepi, memberi laluan kepada rombongan istana, sementara dua lagi mengiring rapat di sisi atau di hadapan sedikit daripada kereta TYT. Sepanjang bertugas di sini dahulu, inilah antara perkara yang saya suka kalau menyertai rombongan TYT. Jalan lapang!

Tidak jauh dari persimpangan kampung Laya-Laya Tuaran, banyak lembu berkeliaran. Mereka melepak di tepi-tepi jalanraya. Dari kejauhan saya sudah melihat kelibat gangguan ini. Tiga polis trafik sudah jauh ke hadapan  sekitar 100 meter ‘membersihkan’ jalan. Kira-kira beberapa meter di hadapan kami, tanpa diduga, beberapa ekor lembu melintasi jalan. Perlahan.

Rombongan kami tersekat sebentar. Dua polis trafik yang dekat dengan kereta TYT juga turut terhenti. Entah adakah mereka cuba menghalau atau  cuba mempercepatkan pergerakan gerombolan lembu berkenaan. Tiga polis trafik semakin menjauh. Entah mereka sedar atau tidak, kami ‘dihalang’ oleh sepasukan lembu yang melintas jalan. Di kereta nombor tiga, saya tersengih sendirian. Kalah juga kereta istana, bisik saya.

Barangkali ini kisah kenangan sempena Hari Malaysia yang sebelum ini tarikh hari ini adalah hari cuti sempena harijadi rasmi TYT. Moral kisah ini ialah, walaupun kita berkuasa, kadang-kadang kuasa kita tidak laku  @ tidak ada nilai terhadap orang atau makhluk lain. Samalah dengan abang-abang polis berkenaan. Mereka ‘ketepikan’ kereta orang lain, tapi ‘kalah’ juga dengan sekumpulan lembu.

Tengahari selepas solat jumaat hari tu, kami dihidangkan dengan ambuyat yang menjadi kegemaran TYT Tun Ahmadshah. Alhamdulillah.