Kenderaan ambulans ini berada di dalam feri dari Labuan-Menumbok membawa pesakit dari Hospital Nukleus Labuan menuju ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. Seperti biasa, hospital Labuan sama ada tidak mempunyai kepakaran atau kelengkapan untuk merawat pesakit berkenaan.

Feri Labuan ke Menumbok hanya ada dua kali perjalanan sehari, kecuali pada musim-musim perayaan yang biasanya ditambah. Jadual hariannya ialah pada jam 7.30 pagi dan 1.30 tengahari. Namun biasanya terlewat, sama ada terlewat sekejap atau terlewat empat lima kali kejap. Mari kita kira semua kos waktu perjalanan dari hospital sehingga ke Kota Kinabalu.

1) Jarak perjalanan antara hospital ke terminal hanya sekitar 4-5km. Agak-agak pun 4-5 minit.

2) Arahan pengurusan feri, waktu mengambil boarding pass adalah sejam sebelum perjalanan. Namun seperti dalam foto di atas, kereta ambulans  berada di belakang sekali, kerana faham saya mereka tidak perlu menanti daripada awal terlalu lama.

3) Pelayaran feri mengambil masa sejam setengah hingga dua jam sekiranya lancar dan tidak rosak. Kalau rosak, jangan kira masanya. Tiada had limit masa.

4) Perjalanan dari Menumbok ke Kota Kinabalu mengambil masa sekitar atau kurang sejam setengah mengambil kira kereta ambulan yang laju dan sentiasa diberi laluan oleh kenderaan lain.

Jumlah masa keseluruhan sekitar 3 jam. Namun perlu diingat perjalanan feri ada masa tertentu dan feri itu bukan mak bapak kita punya.  Sekiranya pesakit  perlu  dihantar malam, maka terpaksa menanti keesokan paginya untuk bergerak ke Kota Kinabalu. Sebelum hari raya lalu, saya menyertai puluhan kenderaan lain menanti feri lebih 5 jam di terminal. Tapi ada yang menanti lebih lama daripada itu.

Kapal terbang?

Ya, ada penerbangan Labuan-KK, empat kali sehari hanya selama setengah jam di udara. Tapi itu bagi yang berduit. Harga tambang boleh lihat di dalam web rasmi MAS. Dahulu ada penerbangan Labuan-KK menaiki Air Asia, tapi sekarang sudah dihentikan. Rujukan di web Air Asia, hanya ada Labuan-KL sahaja.

Daripada segi inilah perlunya kepakaran dan teknologi Hospital Labuan ditingkatkan. Namun dalam masa yang sama di sinilah juga terletaknya keperluan pembinaan jambatan menghubungkan kedua-dua wilayah supaya perjalanan ambulan tidak menanti masa yang terlalu lama. Ada keperluan untuk membawa pesakit ke Kota Kinabalu, mereka terus bergerak dan dalam masa kurang 3 jam, pesakit sudah berada di Kota Kinabalu.

Abang pemandu ambulan itu pun setuju cakap saya.