Antara sebab saya bergegas pulang dari kampung balik ke Kota Kinabalu adalah bagi mengucap selamat jalan kepada rombongan pelajar Sabah ke Mesir pada kali ini. Alhamdulillah, kami tiba di rumah jam 2 petang tadi. Waktu yang sama saya dimaklumkan rombongan ke Mesir sedang berkumpul dan mula mendapatkan pas masuk di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Mereka bertolak jam 5.30 petang ke KLIA sebelum berangkat pada jam 1.30 pagi ke Kaherah. Saya mengambil sedikit masa untuk berehat dan terlena sebentar akibat keletihan di perjalanan Labuan-Menumbok-Beaufort-Kota Kinabalu. Sebelumnya kami sudah keluar rumah jam 7 pagi. Perjalanan keseluruhan selama 7 jam termasuk singgah beraya di tiga buah rumah.

Jam 3.30 petang saya di terminal 1. Baru saya tahu bahawa ada dua rombongan. Rombongan pertama sudah berlepas petang semalam membawa 35 orang – khabarnya kesemuanya pelajar perubatan. Antara yang turut serta ialah Pengarah JHEAINS Datuk Haji Amri Suratman dan Pegawai Pusat Zakat Sabah Ustaz Haji Awangku Raimy Abdul Rahman.

Hari ini saya dimaklumkan seramai 36 orang tanpa ada pengiring. Demikian catatan senarai yang diberikan kepada saya oleh Ustaz Haji Safri Bakar, guru SMAN Toh Puan Hajah Rahmah. Khabarnya ada yang menarik diri tapi saya kurang maklum siapa mereka. Sama ada yang pergi atau yang menarik diri, mudah-mudahan keputusan itu tepat bagi masa depan mereka.

“Hantar siapa ustaz?” Saya disapa oleh beberapa ibu bapa dan kenalan di tengah kesibukan mereka melayan saat-saat akhir bersama anak yang bakal ‘terbang’. Seperti kebanyakan, saya yakin perasaan yang bercampur baur. Gembira, sedih, teruja, bimbang, tangis dan tawa. Bagi yang pertama kali menghantar anak ke luar negara, perasaan syukur dan berbangga itu terzahir dalam pertemuan ini.

“Saya hantar semua pelajar ni..lah”. Jawab saya. Sebenarnya dengan menghantar mereka, saya mengembalikan suasana perjuangan dan semangat dakwah dalam diri. Demikian perasaan saya. Saya mau mengecas semangat ini.

Saya bertemu beberapa pelajar dan ibu bapa. Antaranya Fazri Ansun, yang fotonya terpapar di kanan blog ini. Seperti orang lain, saya berpesan kepadanya agar menjadi lebih baik daripada orang sebelum ini. Mesti lebih baik dari saya, sebab bidang pengajian kami sama. Saya tidak mahu kemahiran yang diperolehi serupa dengan saya. MESTI LEBIH BAIK.

Fazri ada menyampaikan penghargaan dan terima kasihnya kepada para penyumbang. Dia tidak tahu katanya, siapa yang mengirimkan wang  ke dalam akaunnya sehingga mencapai angka ribu. Apa pun, saya yakin semua penyumbang berharap Fazri memanfaatkan sumbangan wang umat Islam ini untuk menampung kehidupan dan pengajiannya di sana.

Saya kira kehadiran YB Datuk Nasir Tun Sakaran yang memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada mereka boleh dijadikan peransang untuk mereka bersungguh-sungguh di sana. Kepada semua siswa-siswi, yang baru dan lama, selamat datang ke Mesir, jaga maruah umat Islam di Sabah dan Malaysia;  dan semoga semuanya berhasil menjadi ulama’ yang berbakti kepada ummat ini.  Ingati tangisan ibu dan bapa, harapan dan keringat mereka. Insya Allah, kami semua mendoakan.