Archive for 14 September 2010


TERIMA KASIH SEMUANYA

Meriah hari raya aidil fitri keluarga Haji Othman Mahali tahun ini. Semua anak menantu dan 18 cucu berkumpul di kampung Lubok Temiang, WP Labuan. Ia jarang berlaku pada 1 Syawal. Biasanya, ada saja yang tidak ada, kerana giliran balik kampung yang tidak mengena. Kalau ada yang balik pun, sudah lewat daripada 1 Syawal, tarikh yang lebih bermakna dalam konteks keluarga besar kami.

Ada enam beradik (tidak termasuk 2 yang meninggal dunia ketika kecil), lima daripada kami sudah mendirikan rumahtangga dan mempunyai zuriat masing-masing.  Hanya menanti saat adik bungsu yang masih sendirian walau umur sudah menjangkau 25 tahun. Kami yang lain mendirikan rumahtangga antara umur 22 dan 32 tahun. Anak-anak kami baru berjumlah 18 orang berumur antara 1 hingga 17 tahun. Insya Allah akan bertambah.

Kami berkongsi keputusan untuk mengadakan rumah terbuka pada raya ketiga lalu. Masing-masing membeli keperluan makan minum dan mengundang tetamu masing-masing. Saya membawa empat ekor ayam yang siap disembelih yang dipelihara sendiri dari KK dan juga 36 botol air mangga dari kilang minuman Shoffee di Lok Kawi. Kerusi dan khemah ditempah dari balai raya kampung.

Hasilnya, sekitar seribu orang tetamu hadir ke rumah. Berita dari dapur, barang makanan seperti ayam dan lain-lain dibeli dan dimasak dua kali  lagi kerana tetamu yang sangat memberangsangkan. Separuh daripada yang hadir adalah sanak saudara dari Johor, Brunei, Sipitang, Kota Kinabalu dan Labuan. Tapi itu pun hanya sebahagian sanak saudara saja yang hadir. Belum semua.

Kehadiran keluarga pakcik kami Halidon Mahali atau nama manjanya Awang dari Johor sudah tentu paling mengesankan. Anak sudah besar-besar, malahan kami tidak mengenalinya pun. Rezekinya ada di Pasir Gudang sejak 20 tahun lalu. Ada yang tidak pernah bertemunya sepanjang tempoh itu, walaupun beliau pernah balik 10 tahun lalu.

Selain sanak saudara jauh dan dekat, kehadiran ahli parlimen YB Datuk Yussuf Mahal dan rombongan juga memeriahkan suasana. Memang rumah kami tidak pernah sunyi dengan kunjungan ahli parlimen Labuan setiap kali hari raya. Sebelum Datuk Yussuf, ahli parlimen terdahulu seperti Datuk Abdul Muluk dan Datuk Suhaili juga pernah ke sini. Kami berbesar hati dengan kunjungan mereka.

Begitu juga rakan-rakan niaga, aktivis Persatuan Penulis WP Labuan (PERWILA), AJK Masjid al-Muzakkirullah, penduduk kampung,  sahabat dan rakan setiap ahli keluarga kami yang hadir, semuanya menyumbang kemeriahan sambutan hari raya kali ini di rumah kami. Terima kasih.

Koleksi foto oleh Abu Nuha & Azri Onn.

Orang tua, enam beradik, lima menantu dan 18 orang cucu.

18 cucu (insya Allah bertambah) bersama nenek aji, nenek uban dan nenek uwa.

Keluarga asal, enam beradik (ada dua orang meninggal dunia ketika kecil)

%d bloggers like this: