Archive for 12 September 2010


SUNGKAI 30 RAMADHAN

Sungkai (berbuka puasa) 30 Syawal menjadi kenangan manis keluarga besar Haji Othman Mahali di Kg Lubok Temiang baru-baru ini. Semua anak cucu, ipar duai dan menantu hadir bersama-sama berbuka puasa. Apatah lagi tahun ini semua anak-anak berhari raya di sini. Meriah sekali.

Selain bersungkai, ada majlis ringkas untuk anak-anak. Kebetulan anakanda Nur Anisa Nabila binti Azri Onn, menyambut ulangtahun ke-8  di rumah. Tambah gamat lagi dengan sesi cabutan bertuah untuk semua ahli keluarga. Ada yang dapat hadiah coklat, air minuman dan macam-macam lagi. Yang penting semuanya dapat dan menjadi kegembiraan bersama kami.

TERSADAI

Perjalanan dari rumah bermula hampir jam 8 pagi menuju ke Terminal Feri Menumbok sebelum menyeberang ke pulau bebas cukai, Wilayah Persekutuan Labuan untuk berhari raya bersama keluarga. Perjalanan santai kerana saya seringkali membawa kereta ke Menumbok dan sudah menjangka tempoh perjalanan ke sana.

Kira-kira 40 minit sebelum tiba di Menumbok, abang di Labuan menghubungi menasihatkan agar memperlahankan perjalanan. Katanya tidak perlu tergesa-gesa kerana feri yang bakal kami naiki belum bertolak pun dari Labuan. Jadual asal Labuan-Menumbok pada jam 7.30 pagi dijangka tiba di Menumbok sejam setengah kemudian sebelum membawa penumpang Menumbok-Labuan pada jam 10.30 pagi.

Hampir jam 10 pagi kami tiba di sana. Seperti kebiasaan musim perayaan, kenderaan bersusun panjang. Kereta kami berada 400 meter dari terminal. Kemudian, terpaksa pula berjalan kaki sejauh itu untuk mendapatkan boarding pass dan cukai kastam, sebelum menanti feri tiba dan bergerak masuk. Sejak awal, saya sudah bersedia bahawa feri lambat tiba, ada masalah kata mereka. Malam tadinya, feri berkenaan terpaksa ditarik kerana rosak di tengah laut. Demikian dimaklumkan oleh salah seorang staf di sana.

Sejam, belum sampai.

Dua jam, tiada berita.

Tiga jam, belum kelihatan.

Empat jam, belum tiba.

Lima jam, baru ada.

Anak-anak keletihan dan bosan. Hendak dibawa keluar dari kereta, cuaca panas. Enjin kereta terpaksa dihidupkan dalam tempoh itu. Mujur ada tv-dvd untuk menenangkan gelisah mereka. Orang di luar marah dan sakit hati. Mujur saja bulan Ramadhan. Sudah ada katanya yang hubungi tv3. Kami sekeluarga datang hampir jam 10 pagi menanti 5 jam. Bayangkan pula mereka yang berada di sana sejak awal pagi, datang dari Kudat, Kota Belud, Keningau bahkan dari Sandakan dan Tawau.

Feri yang tiba bukan feri Wawasan Perdana yang sepatutnya kami sertai, tapi feri Warisan Perdana (dahulunya dipanggil feri Rancha-Rancha) yang lebih kecil. Muatannya hanya separuh berbanding Wawasan Perdana yang boleh menampung sekitar 80 buah kenderaan dalam satu-satu masa.

Feri Rancha-Rancha ini selalu saya ikut zaman kanak-kanak dulu. Selain hanya memuatkan sekitar 40 buah kereta, ruang rehat untuk penumpang juga terbatas. Tiada bilik atau dewan tertutup yang lebih selesa, melainkan kerusi-kerusi plastik yang diletak bagi sebahagian kecil penumpang duduk melihat pemandangan indah sepanjang pelayaran.

Patutlah rakyat Labuan meradang apabila permintaan membina jambatan menghubungkan Labuan-Menumbok ditolak oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin. Rakan-rakan di UMS yang terlibat dalam kajian pembinaan jambatan ini ada memberitahu tentang bolehnya jambatan tersebut dibina dari segi geografi dan alam sekitar. Cerita jambatan ini seingat saya sudah timbul sejak 1997, ketika saya dalam tingkatan lima lagi. Replika jambatan pernah ditayang kepada umum di kompleks Ujana Kewangan Labuan ketika itu.

Saya mendapat maklum, keperluan jambatan bukan sekadar untuk penumpang berkenderaan keluar masuk antara Labuan dan tanah besar Sabah atau sebaliknya. Ia juga laluan untuk lori-lori membawa bekalan makanan, pembinaan dan sebagainya dari Sabah untuk dijual di Labuan. Kadar muatan yang terbatas melalui feri dan berulang kali menyebabkan kos pengangkutan bertambah, dan ini membuatkan harga jualan lebih mahal di Labuan. Sebab itulah pembinaan jambatan mesti diperjuangkan.

Perlunya jambatan menghubungkan dua wilayah ini bagi memudahkan urusan perjalanan kenderaan rakyat dari kedua-dua destinasi pada bila-bila masa, bukan menanti berjam-jam lamanya dengan syarikat kapal yang seperti memonopoli laluan  laut dan hak pendaratan. Lagi pula, dengan adanya jambatan ini membolehkan urusan perniagaan seperti membawa bekalan menggunakan kontena dengan muatan lebih banyak akan tentu memanfaatkan rakyat di Labuan.

Masalah ini sudah berlarutan sekian lama. Kalau kerajaan dacing yang ada tidak sanggup mengadakannya, biarlah pakatan rakyat mengambil alih kerajaan dan membina jambatan yang dimaksudkan demi keselesaan rakyat atau setidak-tidaknya mencari penyelesaian konkrit untuk kebaikan bersama. Pengundi Labuan, sama ada mereka pengguna perkhidmatan feri penumpang atau tidak (kerana semuanya terlibat dengan menikmati harga barang yang mahal) mesti menunjukkan isyarat ini kepada pemerintah sedia ada melalui undi mereka kepada pakatan rakyat.

Separuh pelayaran, kami bertembung di tengah laut feri Wawasan Perdana  menuju ke Menumbok sambil ditunda oleh kapal kecil (lihat foto). Ramai penumpang membanjiri feri berkenaan. Kalau kami tunggu feri ini, entah jam berapa pula sampai ke Labuan.

%d bloggers like this: