Sepanjang Ramadhan lalu, secara keseluruhan saya menerima wang tunai RM4200 daripada pelbagai pihak dan sejumlah 15 kampit beras daripada seorang hamba Allah. Wang tunai ada yang diterima melalui serahan tangan, berwakil dan ada juga melalui kiriman bank-in. Ada di sekitar Kota Kinabalu dan ada juga dari Semenanjung.

Sebahagian besar wang dan bantuan diterima melalui kempen di facebook, blog dan sms. Ada juga yang memberi sebelum saya menyuarakan hasrat program ini. Alhamdulillah, penyerahan terakhir saya sampaikan pada 6 september lalu kepada Cik Elisabeth Tingging, seorang muallafah yang baru memeluk Islam pada 13 Ogos di JHEAINS Kota Kinabalu.

Saya kurang maklum asbab beliau memeluk Islam. Tetapi pernah suatu ketika  – beberapa bulan lalu – dia menghubungi saya melalui sms (tanpa pernah berjumpa) bertanya banyak perkara tentang Islam. Saya menjawab semampunya akan persoalan yang disampaikan. Beberapa ketika, baru saya ketahui dia adalah pelajar PJJ UMS, lalu saya serahkan urusan soal-jawabnya kepada Dr Aliakbar di UMS.

Saat saya terlupa tentang perkembangannya, 13 Ogos lalu Dr Aliakbar menyampaikan khabar gembira bahawa Elisabeth sudah mengucap syahadah di Wisma MUIS. Kini beliau dikenali sebagai Nur Muhayya. Pada 6 september lalu, keluarga besar kami mengajaknya berbuka puasa di rumah abang ipar di Taman Kingfisher. Justeru selepas saya bertarawih di Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka, sumbangan umat Islam ini disampaikan oleh Ummu Nuha.

Keseluruhannya, sumbangan terkumpul ini dibahagi-bahagikan kepada senarai berikut :

1) SMK Pulau Gaya (Sajadah gulung)

2) SK Mantob Kiulu (Sajadah gulung)

3) 8 pelajar muslim SK Mantob bersama keluarga (peralatan solat, bekalan makanan dan duit raya)

4) 5 pelajar susah di SMK Bahang Penampang (peralatan solat, bekalan makanan dan duit raya)

5) 30 pelajar SMAN Toh Puan Hajah Rahmah Kota Kinabalu (duit raya)

6) 4 siswi tahfiz (duit raya)

7) 1 keluarga susah di Kg Meruntum Putatan (makanan, minuman dan duit raya)

Sebahagian penerima ini ada yang saya catatkan kisah mereka di blog ini beberapa hari lalu. Bagi pihak penerima, saya menyampaikan ucapan terima kasih mereka kepada para penyumbang yang bermurah hati dengan meninfaqkan sedikit harta dan wang mereka kepada mereka yang lebih memerlukan. Mudah-mudahan ada kegembiraan buat semua yang menerimanya. Semoga Allah menerima amal baik kita semua. Amin.