(RAKAMAN 6 SEPTEMBER 2010)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Penerbit Puan Sharifah Monazra, pendengar Sabah FM di mana juga berada, muslimin muslimat yang dikasihi Allah SWT. Alhamdulillah, hari ini kita menyambut Eidul Fitri yang bererti kembali fitrah dan suci setelah umat Islam berjaya mengisi bulan Ramadhan lalu dengan pelbagai ibadah yang dianjurkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Suci bersih setelah kita melakukan amal baik dengan sesungguh-sungguhnya, memohon rahmat dan keampunan Allah SWT. Pendengar sekalian, seketika ini marilah kita membuat sedikit muhasabah, membuat sedikit perhitungan dan perkiraan berkenaan ibadah yang kita jalani sepanjang Ramadhan yang baru berlalu.

Pertama, bagaimana sikap kita sebagai hamba Allah apabila masuknya bulan Ramadhan. Rasulullah SAW pernah bersabda  bermaksud, sesiapa yang bergembira dengan masuknya bulan Ramadhan, Allah mengharamkan jasad orang itu daripada disambar api neraka. Pendengar sekalian, ada orang yang begitu benci dengan Ramadhan, dia mengeluh dan merasa berat dengan perintah puasa, terpaksa berpuasa dan menahan nafsu jahat yang biasa dilakukannya dengan seribu dendam dan marah, bersikap pura-pura dalam solat tarawih dan sebagainya. Sebaliknya, apabila berakhirnya Ramadhan dialah orang yang paling gembira. Gembira bukan kerana dapat mengisi ibadah Ramadhan tetapi gembira kerana bagi mereka Ramadhan yang dianggapnya azab itu sudah berakhir.

Kedua, bagaimana kita mengisi bulan Ramadhan? Rasulullah SAW bersabda : yang bermaksud : Berapa ramai orang berpuasa, tiada yang diperolehinya melainkan lapar dan dahaga sahaja. Pendengar sekalian, Rasulullah SAW sudah menyatakan, ramainya orang yang berpuasa. Orang baik berpuasa, orang kurang baik pun puasa. Orang yang sembahyang berpuasa, orang yang tidak sembahyang pun puasa juga. Perempuan yang menutup aurat berpuasa, perempuan yang berpakaian seksi atau mendedahkan aurat juga berpuasa. Orang kaki masjid dan surau berpuasa, orang yang kaki disko dan ahli karaoke juga berpuasa. Pokoknya ramai berpuasa. Tetapi Rasulullah SAW menjelaskan ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga sahaja. Puasa tetapi tidak sembahyang. Puasa tetapi tidak menutup aurat. Puasa tetapi tidak menjaga mata, telinga, lidah dan seluruh anggota tubuhnya daripada perkara yang dilarang.

Ketiga, adakah taqwa yang dijanjikan apabila berpuasa itu kita perolehi? Pendengar sekalian, begini maksud saya. Allah SWT menyebut dalam al-Quran : Wahai orang beriman, difardhukan keatas kamu berpuasa sebagaimana difardhukan keatas orang terdahulu sebelum kamu supaya kamu bertaqwa. Taqwa itu satu perolehan yang pasti sekiranya kita memenuhi tuntutan puasa dengan sebenar-benarnya. Pendengar sekalian, perbandingannya begini. Apabila majikan kita menghantar kita supaya mengikuti kursus tertentu, tentulah tujuannya agar prestasi kita lebih baik sebelum daripada kursus itu. Sepanjang kursus, kita menjalani latihan dan aktiviti tertentu supaya kita boleh melakukannya sekembali daripada kursus itu. Kesan dan hasil kursus akan kelihatan selepas kursus itu berlangsung.

Pendengar sekalian, begitulah juga bulan Ramadhan ini. Ramadhan ini seperti sebuah program kursus sebulan dalam setahun yang diwajibkan oleh Allah SWT keatas umat Islam. Kursus ini diatur sedemikian rupa oleh Allah SWT dengan sebaik-baiknya.

Kepada orangnya dikira berkesan apabila ia ternyata konsisten dan istiqamah dengan ibadah walaupun selepas Ramadhan. Contohnya begini. Dalam bulan Ramadhan, kita rajin ke masjid dan surau. Kalau selepas Ramadhan kita kekalkan aktiviti ke masjid dan surau itu, kita dianggap berjaya. Dalam bulan Ramadhan, kita rajin tilawah al-Quran. Selepas Ramadhan bagaimana? Dalam bulan Ramadhan, kita rajin bersedekah. Selepas Ramadhan bagaimana? Dalam bulan Ramadhan kita menjaga lidah daripada mengumpat, fitnah, bohong, dan sebagainya. Selepas Ramadhan bagaimana? Dalam bulan Ramadhan, ada orang boleh menjaga auratnya, sopan memakai tudung dan baju kurung. Selepas Ramadhan bagaimana? Dalam bulan Ramadhan, ada orang boleh cuti daripada berkaraoke, berpeleseran dan sebagainya. Selepas Ramadhan bagaimana?

Pendengar sekalian, saya bawakan takrif dan hakikat taqwa sebagaimana yang disebut oleh Sayyidina Ali RA. Taqwa meliputi empat perkara. Al-Khaufu minal jalil; wal-amalu bittanzil; war-ridha bil-qalil; wasti’dad ila yaumir rahil. Yang pertama, al-khaufu minal Jalil ertinya takut kepada Allah yang Maha Agung dan Maha Hebat. Takut bukan dengan makna bersembunyi di dalam bilik dan berdiam diri daripada sebarang aktiviti. Takut kepada Allah dengan makna patuh kepada perintah Allah SWT. Bimbang dan takut akan azab-Nya sekiranya kita melanggar arahan-Nya. Itulah makna takut kepada Allah SWT.

Yang kedua, al-amalu bit-tanzil, ertinya beramal dengan al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT. Proses mengamalkan al-Quran ini bermula dengan kita mempelajari al-Quran daripada segi bacaannya, sama ada kita belajar muqaddam, belajar iqra, qiraati, al-hira dan bermacam teknik bacaan yang ada pada hari ini. Menerusi pengalaman peribadi, saya pernah dikunjungi seorang hamba Allah berumur lebih 40 tahun, dengan badan yang bertatto dan menakutkan, lalu meminta saya mengajarnya mengaji bermula dengan iqra.

Dengan izin Allah dan berkat kesungguhannya, dalam tempoh enam bulan dia boleh mengaji al-Quran dengan baik sekali. Ia satu kenangan yang sangat manis bagi saya kerana hamba Allah itu langsung buta al-Quran, tidak mengetahui walau alif ba ta sepatah pun. Setelah boleh membaca, teruskan pula dengan memahami al-Quran sedikit demi sedikit, beramal sedikit demi sedikit dan kemudiannya mengajar dan menyampaikannya kepada orang lain.

Yang ketiga, ar-ridho bil qalil, ertinya merasa ridha dengan nikmat Allah walaupun sedikit. Orang punya kereta, dia ridha dengan keretanya kerana ada orang hanya punya motorsikal. Orang yang punya motorsikal, ridha dengan nikmat motorsikal kerana ada orang hanya ada basikal. Orang yang ada basikal, ridha dengan nikmat basikal kerana ada orang lain hanya berjalan kaki. Orang yang berjalan kaki, ridha dengan nikmat berjalan kaki kerana ada orang yang tidak punya kaki. Orang yang tidak punya kaki, dia ridha kerana masih punya nikmat iman dan islam yang dikurniakan oleh Allah SWT. Begitulah seterusnya. Syukur dengan nikmat Allah SWT dengan menggunakan nikmat sesuai dengan kehendak-Nya, sabar dengan ujian dan musibah-Nya.

Yang keempat, isti’dad ila yaumir rahil. Ertinya membuat persediaan untuk hari pelayaran iaitu alam kubur. Alam kubur atau alam barzakh adalah sesuatu yang pasti akan dirasai oleh setiap yang bernyawa. Persediaan yang paling utama sekali ialah dengan amalan-amalan soleh kerana amal soleh itulah yang akan menjadi teman setia kita di dalam kubur. Rasulullah SAW ada bersabda : maksudnya, ada tiga yang akan mengiringi mayat ke kubur iaitu keluarganya, hartanya dan amalannya. Dua akan balik ke rumah dan satu akan tinggal bersama-sama dengan mayat berkenaan.

Ahli keluarga dan hartanya akan balik, sementara amalannya akan kekal bersama-samanya. Alam kubur boleh menjadi satu taman daripada taman-taman syurga, boleh juga menjadi satu lubang daripada lubang-lubang api neraka. Kalau seorang hamba Allah lulus ujian dan soalan di alam barzakh maka selepasnya akan lebih mudah. Maka ketika itu akan dikatakan kepada : tidurlah kamu sepertimana tidurnya pengantin baru. Tetapi, kalau ia gagal melepasi ujian alam barzakh, maka selepasnya lebih susah dan berat lagi.

Pendengar sekalian, menjadi hamba Allah yang bertaqwa bukan dengan berdiam diri. Ia mesti beramal soleh. Amal soleh mestilah dilakukan secara ilmu, ertinya dibuat dengan terlebih dahulu ia belajar dan mendalami khususnya ilmu fardhu ain. Sebab ada orang beramal ibadah ini hanya kerana ikut-ikutan, hanya kerana semangat-semangatan, hanya kerana orang kerana orang lain buat maka ia pun buat. Walaupun umur kita sudah 30, 40, 50 atau 60 tahun ke atas, jangan malu, segan dan bosan untuk belajar agama.

Pelajarilah ilmu al-Quran, ilmu tentang aqidah, ilmu tentang amal ibadah, dan ilmu tentang akhlak yang semuanya itu akan menjadikan kita semakin hampir kepada Allah SWT. Carilah para alim ulama, ustaz ustazah, sama ada di masjid-masjid, surau-surau, di pusat-pusat pengajian dan sebagainya. Bagi yang berada di sekitar Kota Kinabalu, suka saya mencadangkan agar para pendengar hadir ke kuliah fardhu ain di masjid-masjid berdekatan, khususnya ke masjid negeri sabah yang mengadakan kuliah aqidah, fekah, tasauf, tafsir al-quran dan tajwid pada malam-malam tertentu selepas solat isyak.

Pendengar sekalian,

Sempena hari raya eidul fitri hari ini, sukalah saya mengingatkan beberapa perkara yang sepatutnya menjadi amalan umat Islam pada hari raya.

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri;

2) Menjamah makanan sebelum keluar;

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu disibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah takbir itu sememangnya dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Ucapan yang biasa digunakan di zaman baginda SAW adalah “Taqabbalallahu minna wa minkum” ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.

5) Memakai pakaian terbaik yang ada;

Pakaian terbaik, tidak semestinya baru. Jangan memaksa diri dan keluarga dengan pakaian baru setiap tahun. Ikutlah kemampuan dan jangan membazir. Jangan menghina pakaian orang lain yang kurang cantik dan mahal.

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi);

Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya” (Riwayat Al-Bukhari)

7) Mendengar dan mengambil pengajaran khutbah yang disampaikan oleh khatib hari raya. Berdasarkan pengalaman, saya melihat ramai jamaah masjid dan surau yang bercerita dan berbual ketika khatib sedang berkhutbah. Bahkan lebih malang ada di sesetengah masjid terutama masjid yang besar dan indah, para jamaahnya mengambil peluang ketika khutbah berlangsung untuk bergambar antara satu sama lain.

8) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

Dalam masa yang sama, saya turut menasihatkan umat Islam agar menjaga perkara-perkara yang mungkar antaranya :

1) Masalah sentuhan ; berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah ke rumah orang lain. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini namun lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Masalah aurat & Ipar ; ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Masalah wangian wanita ; kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Masalah pakaian wanita ; pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Masalah ziarah kubur ; ramai di kalangan umat Islam tidak menjaga adab ketika di taman perkuburan. Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain, percampuran bebas antara lelaki perempuan dan bersembang dalam perkara yang bukan-bukan.

6) Masalah yang lebih parah lagi ialah meninggalkan solat kerana terlalu sibuk beraya di sana sini. Apalah ertinya hari raya kita apabila batas kegembiraan itu dilampaui sehingga tidak menunaikan solat yang difardhukan oleh Allah SWT.

Akhirnya saya mengucapkan, kullu sanah wa antum bi khair, mudah-mudahan setiap tahun saudara semua berada dalam kebaikan. Taqabbalallahu minna wa minkum, semoga Allah menerima amal ibadah kita semua. Wasallalahu ala sayyidina Muhammad wa ala alihi wasohbihi ajmain, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.