Archive for 9 September 2010


PROGRAM JELAJAH RAMADHAN

Sepanjang Ramadhan lalu, Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Negeri Sabah dengan kerjasama JHEAINS dan JAKIM Sabah mengadakan beberapa program kemanusiaan antaranya Kota Marudu, Kota Belud, Pitas, Beaufort, Sandakan dan berakhir di Ranau. Saya sempat menyertai program terakhir mereka pada sabtu lalu di beberapa buah kampung di Bundu Tuhan dan di Kundasang.

Perjalanan kami secara konvoi dengan tiga buah kenderaan seramai 10 orang dari Kota Kinabalu diketuai oleh Timbalan Pengerusi AMAL Sabah Haji Abu Aslam Abdullah  bermula jam 11.30 pagi dan tiba hampir jam 2 petang di lokasi pertama iaitu Kampung Pahu, Bundu Tuhan.

KAMPUNG PAHU

Sekitar 30 minit dari simpang jalan utama KK-Ranau, pemandangan kampung ini sungguh indah sekali. Di sini kami bertemu dengan beberapa orang kampung diketuai oleh Ustaz Junaidi Sabirin yang berasal dari Kg Tagudon Lama, tidak jauh dari kampung ini. Beliau yang baru berumur awal 30an pernah belajar di Pondok Penanti dan Sri Petaling kini diamanahkan memikul tugas sebagai imam dan menjaga 14 buah kampung sekaligus sejak beberapa tahun lalu.

Majoriti penduduknya beragama Islam dengan lebih 40 buah rumah penghuninya adalah muslim, demikian menurut Ustaz Junaidi. Kami menunaikan solat jamak zuhur dan asar, menikmati seketika keindahan alam dan memerhatikan banyak sekali kambing biri-biri diternak oleh penduduk kampung sebelum menyampaikan sumbangan beras, ubat-ubatan, buku-buku agama, beberapa makanan mentah dan sedikit duit raya. Ketika datang ke sini, saya terfikir untuk melaksanakan program penghayatan agama bersama PUM Sabah satu ketika nanti. Insya Allah.

KAMPUNG KINANDUSAN

Ia terletak di Kundasang. Ini kali kedua saya dan beberapa sahabat berkunjung dan menghantar sumbangan ke sini selepas julai tahun lalu. Di sini, kami berehat sekitar sekitar setengah jam sementara saya sempat melelapkan mata kerana keletihan. Sumbangan berbentuk beras dan pakaian terpakai diterima oleh Sdr Suhaidi, Pengerusi JK Surau berkenaan.

KAMPUNG DUMPIRING ATAS

Kami berbuka puasa di warung bersebelahan surau an-Nur bersama 40 orang penduduk kampung yang hadir. Tahun lepas kami juga pernah berbuka puasa di sini. Cuaca agak sejuk ditambah lagi hujan turun sebelum dan ketika maghrib. Sumbangan beras disampaikan buat penduduk kampung, juga duit raya buat kanak-kanak yang berbaris gembira. Ustaz Norzam memimpin semua solat maghrib, isyak, tarawih dan tazkirah sebelum kami kembali ke Kota Kinabalu jam 9 malam.

Perjalanan ke Kg Pahu, Bundu Tuhan Ranau.

Kg Kinandusan, Kundasang

Kg Dumpiring Atas

%d bloggers like this: