Undangan disampaikan kurang dua jam sebelum majlis berlangsung di Dewan SESB di Karamunsing. Hajat hendak menolak kerana undangan saat akhir, tapi simpati saya hadir tambahan yang menyampaikan hasrat adalah sepupu saya sendiri yang bertugas di Celcom. Tambahan pula saya adalah pelanggan Celcom. 🙂

Saya terima undangan untuk tazkirah dengan sedikit pindaan masa. Jadual  tazkirah yang mereka tetapkan ialah jam 6 petang kerana ketika itu tetamu mereka lebih ramai. Tetapi saya mohon diawalkan setengah jam kerana perlu memenuhi satu lagi undangan berbuka puasa di lokasi lain yang sudah dipersetujui lebih awal.

Warga Celcom dan tetamu mereka hadir sedikit demi sedikit mulai jam 5 petang. Saya isi tazkirah setengah jam berkenaan di hadapan anak-anak yatim dan tetamu yang lain. Di hujung tazkirah, saya cadangkan pengurusan Celcom agar meninjau juga anak-anak yatim yang terbiar di sekolah-sekolah yang tidak mendapat sebarang bantuan aidil fitri. Saya sebutkan juga berkenaan anak yatim yang daripada satu segi lebih beruntung. Kenapa?

Kerana mereka tidak pernah derhaka kepada ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali. Kenapa pula? Kerana mereka kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sewaktu masih kecil, saat mereka belum mengenal dunia ini lagi. Mereka tidak pernah mengherdik ibu, tidak pernah menjerit bapa, tidak pernah menengking ibu, tidak pernah mencemuh bapa. Jadi tiada dosa mereka kepada ibu bapa berbanding kita.

Yang masih punya ibu bapa, sayangilah mereka.