Kepada salah seorang gurunya yang saya kenali hanya melalui facebook iaitu Ustazah Suseela Sulaiman, saya pernah menjanjikan bantuan ala kadar untuk lima pelajar mereka yang memerlukan sokongan. Janji itu saya catatkan kepadanya pada awal Julai lalu dan saya mengusahakan bantuan itu melalui bantuan ramai orang.

Julai berlalu, Ogos berakhir, namun pada awal September barulah hajat itu tertunai. Dua hari sebelum sekolah bercuti, saya cari juga masa untuk singgah ke sana kerana amanah para penyumbang mesti diselesaikan segera. Urusan  penyampaian di sekolah ini sedikit terganggu kerana terpaksa beberapa kali ditangguh mengikut jadual kelapangan mereka namun tidak menjejaskan hajat untuk membantu mereka.

Sumbangan baru-baru ini juga hampir-hampir tertangguh lagi kerana pelajar-pelajar sedang ujian. Saya hanya ambil masa tidak sampai 10 minit untuk menyelesaikan majlis ringkas penyampaian sumbangan, hanya di kawasan letak kereta sekolah berkenaan.

Para penerima iaitu Abdul Halim (tingkatan 1), Jeslie (tingkatan 2), Adzmina Jonis (tingkatan 2), Nur Ain (tingkatan 2), dan Aini (tingkatan 2) menerima sumbangan berbentuk beras, telekung, kopiah, sajadah, buku iqra, milo, gula, susu dan biskut. Tidak lupa sedikit duit raya. Alhamdulillah, sumbangan buat mereka akhirnya berjaya disampaikan. Terima kasih Ustazah Suseela.