Archive for 3 September 2010


DIA ABANGKU

Saya tidak pernah bertemu dengannya. Dia lahir dan kembali kerahmatullah ketika umurnya belum mencecah setahun. Kata bapa, dia menghidapi sakit kuning. Setiap kali dia menyusu atau minum pasti muntah. Ketika itu keluarga kami baru berpindah ke Sipitang.

Rawatannya dari hospital Beaufort dibawa ke hospital di Kota Kinabalu. Namun sudah ketentuannya, dia kembali menjadi saham berharga buat ibu bapa kami. Dia menanti di syurga. Tiga tahun selepas pemergiannya, saya dilahirkan di daerah Sipitang.

Tiga puluh tahun kemudian, saya baru mengetahui kuburnya di Taman Perkuburan Umat Islam Kg Ketiau Putatan, tidak sampai 10 minit dari rumah. Dengan bantuan pakcik menerusi telefon saya mencari-cari nisannya dan setelah hampir berputus asa, saya akhirnya menemui nisan bertulis jawi. Muhammad Sufri Othman kembali kerahmatullah pada Ogos 1976.

Kuburnya bersebelahan dengan sepupunya Mazlan Zakaria yang meninggal dunia beberapa tahun sebelum itu.

Ada rumah yang meninggi ke atas. Ada rumah yang menurun ke bawah. Rumah meninggi ke atas menjadi sebahagian tempat mengumpul amal untuk dibawa ke rumah menurun ke bawah, alam sempadan sebelum dihadapkan di mahkamah Allah SWT.

Ada tiga yang akan mengiringi jenazah ke kubur. Ahli keluarganya, hartanya dan amalannya. Dua akan kembali ke rumah sementara yang satu tinggal bersamanya. Yang balik adalah ahli keluarga dan hartanya, sementara amalannya tinggal bersama. Ramai orang menyibukkan diri terhadap sesuatu yang bakal ditinggalkan. Tidak ramai orang yang menyibukkan diri terhadap sesuatu yang akan dibawanya ke dalam kubur.

%d bloggers like this: