Ketika mesyuarat JK Wakaf Masjid Penampang diadakan sebelum Ramadhan lalu, timbul idea daripada Cikgu Annuar Ali agar mengadakan Himpunan Perdana Ramadhan. Ia satu strategi agar kempen wakaf sempena pembinaan Masjid Daerah Penampang ini dapat diperluaskan.

Idea itu rasanya timbul berikutan usaha bersungguh-sungguh JK ini agar pembayaran tanah dapat disegerakan khususnya selepas hari raya. Jadi satu program besar diusahakan bagi menghimpun umat Islam.

Kerja keras bagi himpunan ini dilakukan pada seminggu terakhir sebelum majlis diadakan. Mesyuarat JK Pelaksana diadakan di Wisma MUIS dengan kehadiran hanya enam orang dan pembahagian tugas dilakukan dengan melibatkan ramai sahabat-sahabat di luar sana.

Paling penting adalah usaha-usaha promosi bagi menarik ramai umat Islam hadir ke Dewan Saadah Wisma MUIS pada 29 September lalu. Tarikan utama sudah tentu kehadiran wira negara dan umat Islam – Haji Jamuluddin Elias yang pernah ditangkap oleh tentera Israel di kapal Mavi Marmara pada Mei lalu.

Slot ceramah bermula sekitar jam sembilan pagi dengan tajuk ‘Pengenalan Wakaf : Hukum & Kelebihannya’ oleh Ustaz Haji Abdullah Din, Timbalan Yang Di Pertua ABIM Kedah. Beliau juga pernah bertugas di Sabah sekitar 10 tahun dan kembali ke Kedah dua tahun lalu.

Antara lain dalam ceramah beliau menjelaskan bahawa institusi wakaf  yang disebut sebagai sedekah jariah telah menyuburkan dakwah, ukhuwah dan ekonomi Islam sejak zaman Rasulullah SAW sehingga kini. Antaranya ialah Masjid Nabawi, Masjid Quba’, Universiti al-Azhar Mesir dan banyak lagi.

Slot ceramah berikutnya ialah taklimat pembinaan Masjid Penampang yang disampaikan oleh Pengerusi JK Wakaf Haji Sainuri Haji Yahmin. Menurutnya, idea pembinaan ini timbul secara serius beberapa tahun lalu berikutan kesusahan umat Islam sekitar daerah Penampang untuk mendirikan solat Jumaat.

Mereka terpaksa keluar daerah menuju ke Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang, Masjid Negeri di Sembulan atau ke Masjid Kg Lok Kawi Baru di Putatan sedangkan kuantiti umat Islam di sana semakin bertambah ramai daripada masa ke masa. Untuk itu sokongan dan dukungan umat Islam untuk sama-sama membiayai pembinaan masjid ini sangat dialu-alukan sebagai membuktikan kesatuan umat Islam itu sendiri. Menurut beliau pembinaan masjid ini bersama kompleksnya memakan bajet sekitar RM6.5 juta.

Slot berikutnya ialah ceramah Tuan Haji Jamuluddin Elias, Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia (AMAL). Memulakan ceramahnya, beliau menyanjung tinggi usaha-usaha pembinaan dan pengimarahan masjid sebagaimana yang dilakukan oleh penganjur. Selaku akvitis yang banyak menjelajah dunia khususnya dalam misi-misi kemanusiaan beliau melihat banyak masjid yang terlibat dalam musibah. Ada masjid yang terselamat dan ada masjid yang hampir runtuh musnah dalam bencana.

Dalam ceramahnya, beliau menyentuh tentang serba sedikit sejarah Palestin dan Masjid al-Aqsa yang disebut di dalam al-Quran, kerja-kerja Israel yang cuba meruntuhkan masjid dari bawah serta misi-misi kemanusiaan yang telah dilakukan oleh Yayasan Amal Malaysia khususnya di Lubnan dan Palestin. Babak yang dinanti sudah tentu pengkisahan tentang serangan tentera Israel yang menyerang kapal mavi marmara yang membawa aktivis kemanusiaan dan barang makanan, perubatan dan sebagainya untuk disampaikan kepada penduduk Ghazzah.

Sebelum ceramah berakhir, beliau melancarkan kutipan wakaf Masjid Penampang bagi menandakan usaha rasmi JK Wakaf ini dalam mengajak umat Islam menjayakan Masjid Daerah Penampang. Kira-kira 500 orang hadir dan dimaklumkan kutipan pada hari berkenaan mencecah lebih Rm30 ribu.