Selesai tarawih di rumah Abu Aslam saya langsung ke Kg Likas untuk menziarahi majlis berbuka puasa sehingga tarawih bersama warga Pertubuhan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT) di rumah kebajikan saudara kita di di Jalan Kurol Melangi. Saya sendiri menerima undangan beberapa hari sebelum itu untuk majlis berbuka puasa bersama-sama warga SAHABAT. Namun saya bertembung dengan program lain dan hanya dapat datang selepas selesai tarawih.

Di sana Ustaz Haji Abdullah Din sedang menyampaikan tazkirah. Antaranya nasihat beliau berlegar tentang tanggungjawab sebagai seorang muslim apatah lagi saudara baru. Tanggungjawab memberi dan bukan sekadar menerima mestilah diterapkan dalam pemikiran semua ahli mereka. Ustaz Abdullah meminta mereka menghayati firman Allah SWT :

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Semoga islam dan iman mereka semakin mantap dan terus mempelajari Islam secara menyeluruh. Walaupun saya sudah tidak terlibat secara langsung dalam kelas-kelas pengajian mereka lagi, saya sentiasa menyokong semua usaha murni mereka dalam mengukuhkan kefahaman mereka terhadap Islam.