Archive for 31 Ogos 2010


Usrah kami yang ada sekarang ditubuhkan pada 2005 di Kg Likas. Saya ketika itu adalah penyelarasnya. Naqib asal seingat saya yang dicadangkan adalah Allahyarham Ustaz Haji Nahar Haji Mantamin, namun pengisian tarbiyyah dan lain-lain biasanya dipimpin oleh Ustaz Haji Abdullah Din. Akhirnya Ustaz Abdullah Din menjadi naqib sehingga beliau berpindah ke Kedah dua tahun lalu.

Dalam tempoh itu hingga sekarang, ahli usrah ada yang bertukar ganti. Ada yang menarik diri daripada perjuangan ini, ada yang futur, ada yang berpindah dan ada yang mendiamkan diri. Namun dalam masa yang sama kami turut menerima sahabat-sahabat baru yang banyak mengenalkan kami erti persahabatan. Sehingga kini tidak kurang 15 orang ahli yang aktif dan mengisi program setiap minggu.

Dalam usrah kami membaca untaian hadith-hadith  Rasulullah SAW daripada pelbagai kitab antaranya buku penawar hati, riyadhus solihin dan kini syamail muhammadiyyah SAW. Kami juga pernah dididik dengan ilmu tafsir beberapa surah seperti az-Zariyat, an-Nur, Yasin, asy-Syu’araa’ dan kini al-Baqarah. Ia diselitkan dengan program luaran sebagai aktiviti praktikal termasuk program ziarah, bantuan kepada yang memerlukan dan seumpamanya.

Kehadiran ke Kota Kinabalu tiga sahabat baik kami, Ustaz Haji Abdullah Din, Cikgu Jamil dan Ustaz Khidir menimbulkan idea untuk kami bertemu semula walaupun sebentar untuk berusrah dengan pengisian tadarrus, sungkai bersama sehingga solat tarawih. Hampir semua ahli kami hadir bersama keluarga masing-masing kecuali seorang dua yang sudah memaklumkan keuzuran mereka.

Alhamdulillah, walaupun ada yang sudah berpindah namun ukhuwwah tidak pernah terputus. Ia sentiasa dipelihara dan perkembangan sesama kami sentiasa diambil maklum dan diberi perhatian. Semoga Allah SWT menjaga kami dan kita semua.

Sebelum berangkat pulang ke Kota Kinabalu, kami singgah di surau Kampung Bukit Lalang Kota Marudu, sebuah perkampungan yang melewati ladang kelapa sawit bagi bertemu abang Zulkifli yang memeluk Islam 7 tahun lalu. Istimewanya dia kerana komitednya bersama Islam sedangkan sebelum itu dia adalah seorang ketua gereja di sana.

Dahulu dalam agama Kristian SDA dia giat mengkristiankan orang Islam, khususnya yang muallaf sementara kini dia berjuang untuk mengislamkan mereka kembali. Enam-tujuh tahun lalu, yang muslim hanya beberapa orang dan kini sudah mencecah lebih seratus orang di kampung tersebut.

Saya teringat kisahnya ingin memeluk Islam apabila membaca bible banyak perintah agama yang dilakukan oleh orang Islam. Antaranya perintah khitan, berwudhu, sujud ke baitullah, larangan minum arak dan sebagainya. Bagi saya orang seperti abang Zul ini amat perlu kita dekati dan bantu semampunya.

Khabarnya dia berhajat untuk menghantar anaknya belajar di Yaman tetapi dia tidak tahu salurannya. Ada sesiapa yang tahu caranya?

%d bloggers like this: