Sekitar 20 minit dari Kampung Damai, kami menuju ke Surau Kampung Simpangan pula. Surau ini tidak pernah kami kunjungi sebelum ini. Di sini kami akan menyerahkan sedikit bantuan kepada penduduk muslim. Sebenarnya, hanya memanjangkan sedekah orang yang berkirim kepada kami untuk disampaikan kepada mereka yang lebih memerlukan.

Ketibaan kami disambut oleh pengerusi JK Surau Tuan Sharip Kadah Sharip Othman. Menurut beliau, di kampung majoriti beragama Kristian ini, penduduk muslim  hanyalah sekitar 50 keluarga sahaja. Kemudahan surau ini pula katanya amat terhad. Ketika beliau berhijrah ke kampung ini  pada tahun 1994, surau ini sudah ada tetapi terbiar dengan samak samun memenuhi perkarangan surau. Sejak dua tahun lalu mereka mengadakan solat jumaat walaupun jumlah kehadiran tidak mencukupi hanya sekitar 20 ke 30 orang sahaja.

Tenaga eletrik yang ada pun ketika ini disambung dari rumah orang kampung yang berdekatan sejak 3 tahun lalu. Kemudahan air pula bergantung dengan air hujan dan sungai yang berhampiran. Ini kerana tiada kemudahan bekalan air di surau ini melainkan sebuah tangki biru yang diisi dengan air hujan. Memang ketika kami tiba untuk solat zuhur dan asar secara jamak, air tangki sudah kekeringan. Terpaksalah sahabat-sahabat berjalan sedikit menuju ke sungai.

Sumbangan berbentuk sekampit beras dan duit raya disampaikan kepada mereka. Nampak sinar kegembiraan di wajah mereka yang menunjukkan mereka memerlukan bantuan umat Islam. Jika ada yang berkenan untuk membantu, boleh hantar komen ke blog ini.