Sekitar 9.30 pagi rombongan kami tiba di Masjid at-Taqwa Pekan Kota Marudu. Ustaz Khairul Anwar ketika itu belum lagi tiba kerana sedang membeli barangan tambahan untuk kami sampaikan kepada penerima yang kami sudah sasarkan. Sebenarnya para penerima ini adalah mereka yang pernah kami kunjungi sebelum ini. Jadi ini adalah kunjungan semula dan bertanya khabar kepada mereka selepas bertemu lebih setahun lalu.

Sementara di Masjid at-Taqwa, kami bertemu dengan rakan-rakan dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang sedang mengadakan program bersama remaja terpilih di daerah berkenaan. Alhamdulillah, nampaknya NGO’s Islam di Sabah aktif dalam menyebarkan risalah Islam. Ini menunjukkan dakwah Islam tidak akan putus walaupun pelbagai rintangan dihadapi. Tahniah Sdr Zikri yang rancak bersama anak-anak muda di sana, juga sahabat lama Ajrin Karim anak jati Kota Marudu yang semakin meningkat.

Tidak lama, Ustaz Khairul Anwar tiba dengan membawa beberapa kampit beras yang lengkap dengan beberapa makanan mentah yang lain untuk diserahkan kepada sasaran. Di Kota Marudu, rombongan kami bertambah kerana sebuah lagi kenderaan dengan sahabat-sahabat di sini sudi menyertai.

1) Kami mengunjungi Hajah Zaleha Abdullah, seorang aktivis dakwah di Kota Marudu. Lebih setahun lalu beliau koma selama 2 bulan dan terlantar di hospital di Kota Kinabalu dan Kota Marudu. Hajah Zaleha berasal dari Tamparuli sebenarnya dan mengikut suaminya ke sini. Di kampung ini suaminya menjadi pengerusi surau yang diasaskannya bersama orang kampung. Setelah suaminya meninggal dunia, Hajah Zaleha mengambil alih amanah pengerusi surau sehingga kini. Dalam pergerakannya yang sudah agak perlahan dan bertongkat itu, beliau gagahkan juga mengisi masa dengan berdakwah ke beberapa kampung sekitar sini.

2) Tidak jauh dari rumah Hajah Zaleha, kami menyampaikan sumbangan kepada dua keluarga. Kedua-duanya amat akrab dengan Hajah Zaleha. Salah satunya memeluk Islam 12 orang sekeluarga yang sebelumnya hanya pagan. Ketika kami tiba, kedua orang tua tidak ada dan kami hanya menyampaikan kepada anaknya yang tinggal di rumah.

3) Kami menziarahi keluarga Khamal Khairie seorang muallaf yang bekerja sebagai penoreh getah dan isterinya Hamidah Deris yang berasal dari Kelantan. Mereka kini menanti kelahiran cahayamata yang ketiga. Buat masa ini mereka masih tinggal bersama keluarga Khamal yang beragama Kristian SDA. dan sedang membina rumah sendiri tidak jauh dari situ. Kalau tidak salah, ini kunjungan kali ketiga saya ke rumah mereka.

4) Berikutnya kami ke rumah Puan Rosnani Ag Teh yang berasal dari Temerloh Pahang. Beliau sudah bersama suaminya di sini sejak 10 tahun lalu dan mempunyai 5 orang cahayamata  Suaminya Md Aadram Rizuan Abdullah juga seorang muallaf tiada di rumah ketika kami datang. Mereka juga tinggal bersama ibu bapanya yang belum memeluk Islam.

5) Seterusnya kami ke rumah Puan Amiza yang berasal dari Pulau Pinang. Suaminya Abang Ikhwan juga muallaf tiada di rumah ketika itu. Kata Puan Amiza, beliau dan Hamidah sering bertemu di surau khususnya Ramadhan ini untuk bersama-sama solat tarawih.

6) Kami ke sebuah rumah keluarga dusun yang memeluk Islam pada tahun 80an. Tahun lalu kami datang rumahnya, rumahnya agak sempit. Kali ini beliau itu sedikit seronok kerana ada sedikit ruang tambahan dibina di hadapan juga dengan menggunakan binaan yang sama. Walaubagaimanapun kami semua terkilan kerana katanya tiada seorang pemimpin yang pernah datang ke rumahnya. Talian elektrik hanya disambung dari rumah yang berhampiran.