Seperti tahun-tahun sudah, Surau Riyadhus Solihin Taman Austral meneruskan amal baik bulan Ramadhan ini dengan sekali lagi mengadakan majlis berbuka puasa dan sumbangan hari raya bersama anak-anak yatim, pelajar susah dan miskin.

Menurut Timbalan Pengerusi JK Surau, Ustaz Mohammad Suaid, seramai 150 orang murid terlibat dalam agihan sumbangan kali ini. Mereka terdiri dari pelajar terpilih PASTI Kota Kinabalu / Putatan, SK Sembulan, SK Bahang, SK Pekan Kinarut, SK Petagas, SK Tanjung Aru 1, SK Tanjung Aru 2, SK Puuntonoh, SK Pulau Gaya, SK Kepayan, SMK Limbanak, anak-anak susah dan miskin dari Kg Meruntum Putatan serta pelajar Pondok Fii Zilalil Quran Kg Tamau Kota Belud.

Sumbangan termasuk jamuan berbuka puasa serta duit hari raya yang disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk oleh surau dan beberapa orang ahli korporat sekitar Kota Kinabalu. Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Tuan Haji Sapawi Haji Thussin selaku Pengerusi JK Surau bersama-sama Tuan Haji Farid Abdullah.

Saya menyanjung tinggi kesungguhan pihak surau mengenal pasti anak-anak miskin dan yatim ini. Mereka memohon bantuan guru-guru di sekolah terbabit untuk menyenaraikan pelajar yang dimaksudkan dan kemudian mengundang mereka bersama-sama berbuka puasa bersama keluarga atau guru mereka. Semoga Allah SWT membalas budi dan jasa baik para penyumbang.