Ramadhan kali ini selain puasa dan aktiviti rutin lain juga lebih bermakna apabila tiga sahabat baik kami (sahabat bible) berkunjung ke Sabah. Niat asal  mereka diketuai oleh Ustaz Haji Abdullah Din (Kedah), Cikgu Jamil Dayan (Perak) dan Ustaz Khidir Ishak (Negeri Sembilan) untuk menziarahi kubur Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin dan balu beliau Kak Norsidah serta keluarga.

Jadi bersempena kunjungan ini kami sama-sama mengatur program dakwah sebagaimana biasa ketika mereka berada di Sabah satu ketika dahulu. Ustaz Abdullah Din dan Ustaz Khidir tiba di Kota Kinabalu pada malam jumaat sementara Cikgu Jamil dan seorang lagi rakannya Haji Mohammad pada pagi jumaat. Ustaz Abdullah Din pernah berkhidmat di Sabah lebih 10 tahun, Cikgu Jamil Dayan pula sekitar 15 tahun (2 kali posting), manakala Ustaz Khidir selama 9 tahun.

Ustaz Abdullah Din yang kini dipilih sebagai TYDP ABIM Kedah sepanjang jumaat mengisi beberapa program yang diatur bersama. Sebelah paginya ceramah Nuzul Quran di Wisma LHDN, Karamunsing; khutbah Jumaat di Masjid Telekom Malaysia dan sebelah petang ceramah di SMK Tebobon, sekolah beliau bertugas sebelum berhijrah ke Kedah. Sementara Ustaz Khidir menyampaikan khutbah di Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang. Cikgu Jamil pula pada sebelah malamnya mengisi program di Surau Kg Lobou dengan majlis berbuka puasa sehingga tarawih di sana.

Pagi ini kami memulakan pertemuan dhuha di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dengan dua kenderaan. Sebuah van dipandu oleh Ustaz Zulhazmi Osman dan prado bersama Datuk Haji Safari Abdul Manan. Terubat rindu bertemu sahabat-sahabat dari Semenanjung dan bagi saya sendiri pertemuan ini bagi mengecas semula semangat dakwah khususnya dalam aktiviti keluar daerah yang biasa kami lakukan bersama-sama dahulu. Ada satu resolusi yang dicapai selesai dhuha itu. Ini akan saya catatkan pada siri akhir catatan sepanjang kunjungan sahabat-sahabat ini. Insya Allah catatan perjalanan sepanjang program bersama mereka mungkin mencapai sehingga 7-8 siri entri.

Jumlah rombongan kami sebenarnya hampir mencecah 15 orang termasuk dua ustazah dengan tiga kenderaan. Sebuah lagi, Ustaz Amir Hamzah dan isteri menanti di Tuaran dan kemudiannya bergerak bersama-sama ke Kota Marudu. Kami berjanji dengan Ustaz Khairul Anwar Md Nawi yang berada di Masjid at-Taqwa Pekan Kota Marudu untuk bertemu di sana sebelum sama-sama berangkat ke beberapa buah rumah untuk menyampaikan bantuan.