Archive for 28 Ogos 2010


Ramadhan kali ini selain puasa dan aktiviti rutin lain juga lebih bermakna apabila tiga sahabat baik kami (sahabat bible) berkunjung ke Sabah. Niat asalĀ  mereka diketuai oleh Ustaz Haji Abdullah Din (Kedah), Cikgu Jamil Dayan (Perak) dan Ustaz Khidir Ishak (Negeri Sembilan) untuk menziarahi kubur Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin dan balu beliau Kak Norsidah serta keluarga.

Jadi bersempena kunjungan ini kami sama-sama mengatur program dakwah sebagaimana biasa ketika mereka berada di Sabah satu ketika dahulu. Ustaz Abdullah Din dan Ustaz Khidir tiba di Kota Kinabalu pada malam jumaat sementara Cikgu Jamil dan seorang lagi rakannya Haji Mohammad pada pagi jumaat. Ustaz Abdullah Din pernah berkhidmat di Sabah lebih 10 tahun, Cikgu Jamil Dayan pula sekitar 15 tahun (2 kali posting), manakala Ustaz Khidir selama 9 tahun.

Ustaz Abdullah Din yang kini dipilih sebagai TYDP ABIM Kedah sepanjang jumaat mengisi beberapa program yang diatur bersama. Sebelah paginya ceramah Nuzul Quran di Wisma LHDN, Karamunsing; khutbah Jumaat di Masjid Telekom Malaysia dan sebelah petang ceramah di SMK Tebobon, sekolah beliau bertugas sebelum berhijrah ke Kedah. Sementara Ustaz Khidir menyampaikan khutbah di Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang. Cikgu Jamil pula pada sebelah malamnya mengisi program di Surau Kg Lobou dengan majlis berbuka puasa sehingga tarawih di sana.

Pagi ini kami memulakan pertemuan dhuha di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dengan dua kenderaan. Sebuah van dipandu oleh Ustaz Zulhazmi Osman dan prado bersama Datuk Haji Safari Abdul Manan. Terubat rindu bertemu sahabat-sahabat dari Semenanjung dan bagi saya sendiri pertemuan ini bagi mengecas semula semangat dakwah khususnya dalam aktiviti keluar daerah yang biasa kami lakukan bersama-sama dahulu. Ada satu resolusi yang dicapai selesai dhuha itu. Ini akan saya catatkan pada siri akhir catatan sepanjang kunjungan sahabat-sahabat ini. Insya Allah catatan perjalanan sepanjang program bersama mereka mungkin mencapai sehingga 7-8 siri entri.

Jumlah rombongan kami sebenarnya hampir mencecah 15 orang termasuk dua ustazah dengan tiga kenderaan. Sebuah lagi, Ustaz Amir Hamzah dan isteri menanti di Tuaran dan kemudiannya bergerak bersama-sama ke Kota Marudu. Kami berjanji dengan Ustaz Khairul Anwar Md Nawi yang berada di Masjid at-Taqwa Pekan Kota Marudu untuk bertemu di sana sebelum sama-sama berangkat ke beberapa buah rumah untuk menyampaikan bantuan.

Seperti tahun-tahun sudah, Surau Riyadhus Solihin Taman Austral meneruskan amal baik bulan Ramadhan ini dengan sekali lagi mengadakan majlis berbuka puasa dan sumbangan hari raya bersama anak-anak yatim, pelajar susah dan miskin.

Menurut Timbalan Pengerusi JK Surau, Ustaz Mohammad Suaid, seramai 150 orang murid terlibat dalam agihan sumbangan kali ini. Mereka terdiri dari pelajar terpilih PASTI Kota Kinabalu / Putatan, SK Sembulan, SK Bahang, SK Pekan Kinarut, SK Petagas, SK Tanjung Aru 1, SK Tanjung Aru 2, SK Puuntonoh, SK Pulau Gaya, SK Kepayan, SMK Limbanak, anak-anak susah dan miskin dari Kg Meruntum Putatan serta pelajar Pondok Fii Zilalil Quran Kg Tamau Kota Belud.

Sumbangan termasuk jamuan berbuka puasa serta duit hari raya yang disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk oleh surau dan beberapa orang ahli korporat sekitar Kota Kinabalu. Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Tuan Haji Sapawi Haji Thussin selaku Pengerusi JK Surau bersama-sama Tuan Haji Farid Abdullah.

Saya menyanjung tinggi kesungguhan pihak surau mengenal pasti anak-anak miskin dan yatim ini. Mereka memohon bantuan guru-guru di sekolah terbabit untuk menyenaraikan pelajar yang dimaksudkan dan kemudian mengundang mereka bersama-sama berbuka puasa bersama keluarga atau guru mereka. Semoga Allah SWT membalas budi dan jasa baik para penyumbang.

%d bloggers like this: