Archive for 27 Ogos 2010


Undangan disampaikan oleh Ustazah Qurratul Ain Hj Muchlish sejak awal Ramadhan lagi. Kak Ain bertugas di sini sejak beberapa tahun lalu. Menjadi kebiasaan saya menerima satu undangan lebih-lebih lagi kalau lokasi itu tidak pernah saya kunjungi. Saya teruja hadir ke sekolah ini, walaupun jiran mereka iaitu SK Pulau Gaya sudah beberapa kali mengundang.

Sekitar jam 9 pagi saya tiba di jeti dan siap menanti seorang wakil sekolah berkenaan. Kami bersama-sama menaiki bot sekolah menuju ke Pulau Gaya yang hanya mengambil masa sekitar 5-6 minit sahaja.

Ceramah di adakan di ruang terbuka sekolah dan dihadiri oleh pelajar tingkatan satu, dua dan empat. Saya difahamkan sekolah ini beroperasi pada tahun 1989 dan kini mempunyai 720 orang pelajar. Sebahagian besar pelajar tinggal di pulau ini sementara ada sebahagian datang dari tanah besar dan mereka datang seawal pagi menaiki bot sekolah dari jeti Jesselton Point.

Saya menceritakan beberapa ayat al-Quran dan hadith Rasulullah SAW tentang puasa dan nuzul al-Quran serta mengaitkan hadith-hadith berkenaan dalam konteks sebagai pelajar. Contohnya tentang isu disiplin (la’allakum tattaqun), kesungguhan menuntut ilmu (iqra’) dan sebagainya. Saya seronok hadir ke sini apatah lagi melihat tidak banyak karenah pelajar sepanjang ceramah berlangsung.

Selain menyampaikan ceramah, kesempatan hadir ke sini juga saya manfaatkan untuk menyerahkan sumbangan segulung sajadah untuk kegunaan surau sekolah. Sajadah itu adalah hasil sumbangan umat Islam yang saya kumpulkan atas nama Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah. Sajadah ini adalah salah satunya di samping sumbangan ke sekolah dan lokasi yang lain.

Terima kasih atas undangan yang diberikan. Terima kasih buat Tuan Pengetua Cikgu Che Rose Bakar, orang Perlis yang sudah lama merantau di Sabah. Terima kasih juga buat Panatia Agama Islam dan semua guru-guru yang mengajar di sini. Alhamdulillah, saya mendapat beberapa lagi kenalan baru. Semoga bertemu lagi.

Kalau sudah mengantuk, di sini pun boleh terlelap. Saya rakamkan detik ini pada jam 9 pagi di jeti Jesselton Point ketika saya menanti bot untuk ke SMK Pulau Gaya. Jesselton Point adalah pusat jeti bagi ke pulau-pulau pelancongan seperti Pulau Manukan dan sekitarnya. Ratusan atau mungkin ribuan pelancong luar negara kelihatan setiap hari di sini.

%d bloggers like this: