Archive for 26 Ogos 2010


BERKUMPUL

Ramadhan kali ini saya akui banyak berada di rumah untuk berbuka puasa bersama keluarga. Banyak juga undangan berbuka di luar yang saya tolak dengan baik. Pada hujung-hujung minggu kadang-kadang anak-anak buah datang bertandang sama ada bermalam atau sekadar datang bersungkai bersama-sama.

Seronok melihat anak-anak sungkai dan bersahur bersama. Walaupun setengahnya tidak berpuasa atau sekadar berpuasa setengah hari, kesungguhan mereka untuk memulakan ibadah ini begitu membanggakan. Guru kami berkata, anak-anak yang beribadah dengan betul sebelum balighnya, meski dia belum diwajibkan tetapi ibu bapa mendapat pahala kerana menyuruh anak-anak berbuat baik.

6 Ramadhan :

Ustaz Haji Muhammad Iyen Atim menjelaskan bahawa solat adalah ibadah syumuliyyah yang paling afdhal. Solat seorang hamba yang sebenar-benarnya menjadikan dia semakin tunduk dan patuh kepada Allah SWT serta tidak menjadikannya angkuh dan sombong. Demikian dalam solat dengan berlakunya rukuk dan sujud menunjukkan kepatuhan dan penghinaan diri kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

7 Ramadhan :

Dr Ali Akbar Gulasan menyebutkan bahawa penghinaan terhadap Rasulullah SAW sudah berlaku sejak zaman hayat baginda lagi dan akan berlaku sepanjang zaman kerana musuh yang tidak berkesudahan. Bagi umat Islam, sekurang-kurangnya hendaklah selalu bercerita kepada anak dan ahli keluarga akan sirah perjuangan baginda SAW serta mengaplikasi semampunya sunnah-sunnah Rasulullah SAW.

8 Ramadhan :

Ustaz Syahir Ismail menyebutkan antara ciri pemuda yang dikasihi Allah SWT itu ialah apabila ia suka beribadah kepada Allah SWT tanpa jemu. Pada zaman Rasulullah SAW, para pemuda adalah tonggak kepada perjuangan Islam yang sering menjadi saf hadapan perjuangan. Dalam zaman serba mencabar ini, syabab yang berkualiti bukan sekadar mempunyai pendidikan tinggi tetapi mampu menongkah cabaran massa menurut ajaran Islam.

9 Ramadhan :

Dalam tazkirah Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar, seorang manusia yang benar-benar merindui Allah SWT akan sentiasa tekun melaksanakan segala perintah-Nya danĀ  menjauhi larangan-Nya. Ia rindu untuk bertemu dengan-Nya, dengan membawa amal kebaikan serta mengharap ridha tuhannya. Ia bimbang dengan amalan yang sedikit dan serba kekurangan. Maka dengan itu selalu bermohon agar Allah SWT mengampuni kesalahannya serta menampung segala kekurangan ibadah yang telah dilakukannya.

11 Ramadhan :

Alam barzakh adalah sesuatu yang pasti. Ia boleh saja menjadi satu taman daripada taman-taman syurga bagi hamba yang patuh kepada Allah SWT, dan boleh saja menjadi satu lubang daripada lubang-lubang api neraka bagi manusia yang kufur dan ingkar kepada-Nya. Jika pertanyaan alam barzakh dapat dijawab dengan baik, maka rintangan selepasnya semakin mudah. Sementara jika sebaliknya, maka cabaran selepas itu akan semakin susah lagi. Demikian tazkirah Ustaz Zainuddin Lateh.

12 Ramadhan :

Ustaz Mohd Jumat Abd Razak mengambil ruang untuk menerangkan kepada audien tentang cara penentuan arah kiblat. Penentuan arah kiblat, bukan saja untuk solat, bahkan ketika meletak janazah di dalam kubur. Menghadap kiblat juga disunnatkan ketika membaca al-Quran dan sebagainya. Maka umat Islam perlu mengetahui sedikit sebanyak tatacara penentuan kiblat apatah lagi ketika bermusafir dan sebagainya. Pihaknya juga bersedia diundang untuk menerangkan kaedah ini di mana-mana jabatan atau majlis yang bersesuaian.

13 Ramadhan :

Datuk Hj Md Safari Abdul Manan memberikan taklimat pembinaan masjid daerah penampang yang kini baru dalam proses mendapatkan tanahnya. Kebersamaan umat Islam khususnya di negeri Sabah amat diperlukan apatah lagi Penampang adalah satu-satunya daerah yang belum mempunyai masjidnya sendiri. Maka umat Islam diseru untuk menyertai program wakaf yang dilancarkan oleh JK Wakaf Masjid Penampang. Dianggarkan, keseluruhan projek ini memakan kos sebanyak RM6.5 juta.

14 Ramadhan :

Ustaz Hj Mohd Hilham Md Noor menceritakan tentang sejarah pembinaan Masjid Nabawi sejak hijrah Rasulullah SAW ke al-Madinah al-Munawwarah. Masjid adalah pusat bagi perkembangan Islam, pusat pertemuan, pusat pentadbiran dan pusat segala gerakan Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah mengambil pengajaran pada zaman ini untuk menjadikan masjid sebagai lokasi wajib bukan sekadar untuk mendirikan solat semata-mata.

15 Ramadhan :

Imam an-Nawawi RH adalah ulama’ terbilang dalam Mazhab asy-Syafie. Beliau mengarang ratusan kitab. Antara yang terkenal ialah Arbain an-Nawawi (hadith 40), Riyadhus Solihin, al-Azkar dan banyak lagi. Ketekunan beliau di dalam menyebarkan ilmu terutama fekah dan hadith sehingga beliau tidak berkahwin dan mendambakan dirinya untuk ilmu Allah SWT. Kehebatan beliau sudah terserlah sejak kecil apabila beliau tidak gemar bermain tetapi suka belajar dan membaca. Kitab-kitab beliauĀ  yang terkenal ke seluruh dunia Islam hari ini merupakan saham untuk beliau bawa ke hadapan Allah SWT. Demikian tazkirah oleh Ustaz Hj Muchlish Ali Kasim.

16 Ramadhan :

Perang Badar al-Kubra adalah siri peperangan terpenting dalam Islam yang berlaku dalam bulan Ramadhan dengan tentera Islam seramai 313 orang dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW bertembung dengan musuh seramai seribu orang. Kesatuan umat Islam khususnya antara muhajirin dan ansar serta kebersamaan dan kepatuhan mereka bersama Rasulullah ketika susah dan senang membawa kepada kemenangan umat Islam menewaskan musuh yang lebih ramai. Oleh itu umat Islam zaman ini mesti mengambil iktibar daripadanya, demikian antara pengisian oleh Ustaz Murtadha Mansor.

%d bloggers like this: