Archive for 25 Ogos 2010


LETAK MA’MUM

Ketika hanya berdua dalam solat berjamaah, kedudukan seorang ma’mum hendaklah berada di belakang sedikit di¬† kanan imam imam. Terdapat kesilapan dalam solat dua remaja ini di dalam solat mereka. Namun kesungguhan mereka mendirikan solat secara berjamaah adalah sesuatu yang sangat baik.

Mulanya seorang, kemudian saya dimaklumkan dua jam sebelum majlis, ada bertambah lagi seorang menjadi dua. Ramadhan tahun ini bertambah manis buat diri saya, juga kepada Surau Riyadhus Solihin Taman Austral. Ia semestinya menjadi kenangan bermakna kepada dua orang puteri yang diraikan. Niat asal diluahkan oleh sahabat baru kami iaitu Ustaz Ahmad Nasir yang baru lebih sebulan bertugas di SK Putatan yang mengurus muridnya untuk memeluk Islam.

Surau Riyadhus Solihin dan kira-kira 100 jamaah diketuai oleh pengerusi dan AJK Surau berkenaan menjadi saksinya dengan kehadiran dua saudara baru iaitu adik Anis Ulfa @ Visytrys dan Marlina  Aqeelah @ Marlina petang semalam, setengah jam sebelum berbuka. Turut hadir ialah sahabat saya Ustaz Zamri Kuatis yang kini bertugas di Pejabat Pelajaran Penampang yang juga pernah mengajar Anis Ulfa sebelum ini. Selain itu turut meraikan guru-guru dan rakan-rakan mereka daripada kedua-dua sekolah.

Anis Ulfa baru berumur 12 tahun dikesan berminat untuk memeluk Islam oleh guru-gurunya di SK Putatan. Ibu bapanya pada awalnya bukan beragama Islam dan kemudiannya bercerai. Bapanya membawa haluan dengan memeluk Islam dan berkahwin baru sementara ibunya kekal dengan agama asal. Namun yang jelas kami dikhabarkan kedua-duanya memberi keizinan untuk Anis menganut Islam.

Sementara tidak banyak saya ketahui berkenaan Marlina Aqeelah yang kini berumur 18 tahun dan bersekolah di SMK Kinarut. Hanya dua jam sebelum majlis barulah saya dimaklumkan oleh guru di sekolah berkenaan iaitu Cikgu Abdul Hamid supaya saya mengambil borang pengislaman untuk pelajarnya itu.

Kebetulan ketika itu saya di tangan saya terdapat sedikit wang yang disampaikan oleh beberapa hamba Allah, maka saya belikan untuk kedua-dua mereka satu set pakaian solat seperti telekung dan sajadah serta dua buah buku iqra dan buku belajar sembahyang.

Kepada Anis dan Marlina saya pinta mereka menunjukkan akhlak yang lebih baik terhadap keluarga dan rakan-rakan serta kenalan; dan tidak malu bertanya dan belajar untuk memantapkan pengetahuan mereka terhadap agama Islam. Insya Allah, guru-guru di sekolah akan membantu. Sesungguhnya mereka kembali kepada Islam yang sudah diikrarkan semasa di alam ruh dahulu.

Alhamdulillah, bulan Syawal tahun lalu seorang perempuan juga diislamkan di surau ini dan sebagaimana saya ulas, saya berdoa surau ini turut makmur dengan pelbagai aktiviti lain. Kenduri pengislaman sudah, majlis khitan sudah, kenduri aqiqah dan qurban pun sudah, majlis perpisahan pun sudah. Hanya kenduri perkahwinan yang belum.

%d bloggers like this: